Hasrat anak sulung dari keluarga B40, Muhammad Hakimi Yunus, 19, untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi realiti apabila terpilih sebagai peserta Program Perintis Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG).
Dia yang bersaing dengan 13 calon lain telah diterima untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Menurutnya, dia tidak menyangka akan terpilih sebagai salah seorang peserta program berkenaan kerana perlu melalui sesi temu duga dengan USIM pada Julai lalu.
Muhammad Hakimi berharap agar peluang yang diperoleh ini dapat meringankan beban kewangan keluarganya yang bergantung pada pendapatan ayahnya, Yunus Hussain, 51, yang hanya bekerja sebagai pembantu di pasar.
"Alhamdulillah saya dipilih menyertai program ini dan saya tidak perlu bimbang tentang soal duit, yuran pengajian atau perbelanjaan ketika belajar.
"Saya harap dapat fokus sepenuhnya pada pelajaran dan tidak perlu membuat kerja sambilan,” katanya yang dipetik dari Bernama selepas penyerahan surat tawaran pengajian oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini di Taman Seri Bayan, Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.
Selain Muhammad Hakimi, seramai 75 pelajar dalam kalangan B40 turut terpilih untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi semester baharu pada Oktober ini menerusi Program Perintis SULUNG.
Menurut Noraini, program di bawah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu merupakan projek perintis melibatkan lapan universiti awam (UA) di negara ini yang bertujuan membantu anak sulung dalam keluarga B40 melanjutkan pengajian ke universiti.
Jelasnya, menerusi program itu, pelajar terpilih bukan sahaja diberi laluan khusus tetapi turut ditawarkan biasiswa, elaun bulanan, asrama, pementoran sehingga pelajar mendapat pekerjaan.
"Program SULUNG ini diharap sedikit sebanyak dapat mengubah kehidupan keluarga pelajar terlibat dan menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain.
"Pelajar hanya perlu mempersiapkan diri untuk memasuki universiti serta fokus sepenuhnya kepada pembelajaran,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Noraini juga berkata, setakat ini, Program SULUNG hanya melibatkan lapan UA dan setiap universiti akan mengambil kira-kira 10 pelajar bagi pelaksanaan tahun pertama program ini.
"Pelaksanaan Program SULUNG itu akan diperluas dengan kerjasama lebih banyak universiti termasuk universiti swasta pada tahun hadapan.
"Menerusi pelaksanaan program ini, Muhammad Hakimi tidak perlu membayar yuran pengajian selama empat tahun yang berjumlah lebih RM46,000 serta menerima beberapa manfaat lain termasuk elaun bulanan sebanyak RM1,500, tempat tinggal serta peranti siswa percuma,” ujar Noraini.
Artikel berkaitan
"Terima kasih UNITEN” - Graduan cemerlang gagal UPU lega ditawarkan tempat dengan jurusan pilihan
Profesor Dr Sharifudin dilantik Naib Canselor USIM yang baharu
KPT perkasakan inisiatif Rumah Siswa, platform pemudah cara pelajar dapatkan tempat kediaman