HomeIPTBuletin IPTUSIM serlah bakat kesenian, menerusi festival koir, penyanyi Nash diundang ketua juri...

USIM serlah bakat kesenian, menerusi festival koir, penyanyi Nash diundang ketua juri pertandingan

Erti kemerdekaan tidak cukup sekadar dizahirkan pada kibaran dan gantungan bendera Jalur Gemilang di kawasan premis.

Selaku rakyat Malaysia yang cintakan tanah air mestilah menghayati dan melahirkan rasa syukur kepada Ilahi atas kurniaan kemakmuran yang dinikmati hingga ke hari ini.

Bersempena sambutan Hari Malaysia pada minggu lalu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, menganjurkan Festival Koir Kemerdekaan Piala Pendaftar (FESKEP) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM.

Program ini merupakan kerjasama antara Pusat Kebudayaan USIM, Jabatan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Kolej Genius Insan.

Menurut Peneraju Program, Ismail Ahmed, salah satu alternatif untuk menonjolkan semangat cinta kepada negara adalah melalui program kesenian.

“Menerusinya, karya seni ini juga dilihat mampu membangkitkan semangat kecintaan walaupun latar belakang kami berbilang kaum.

“Penganjuran kali kedua ini lebih meriah dengan pembabitan seramai 230 peserta daripada pelbagai jabatan USIM.

Sekitar acara berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, USIM.

“Para penonton berpeluang menyaksikan secara langsung menerusi platform USIM TV dengan kira-kira 500 penyokong hadir memberi sokongan kepada jabatan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan berkata, rutin staf yang sebelum ini hanya dilihat bekerja di sebalik meja dan menghadap skrin peranti, kini bakat kesenian mereka terserlah melalui penganjuran program seperti ini.

“Saya yakin rasa kebersamaan sesama kita perlu dieratkan kerana ini yang akan melahirkan rasa sayang kepada negara.

“Penyertaan 11 kumpulan melibatkan 18 jabatan ini menunjukkan bahawa kakitangan USIM berpotensi menyambut dan meraikan bulan kemerdekaan dengan meriah walaupun hampir dua tahun berdepan pelbagai kekangan dan sunyi dek Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof Ts Dr Sharifuddin Md Shaarani, berkata, semua warga perlu mengutamakan semangat bersatu padu dan hidup dalam keadaan harmoni bagi memastikan kampus berkenaan sentiasa aman damai serta terus makmur.

Hadir sama, vokalis kumpulan Lefthanded, Datuk Nashrudin Elias atau dikenali sebagai Nash, yang juga Karyawan Seni USIM diundang sebagai ketua juri pertandingan.

Selain itu, turut hadir, Bekas Peserta Gegar Vaganza Musim Kelima, Nurfadilla Nadia Abu Bakar dan Juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008, Azizul Haqim Md Anuwar sebagai juri.

Artikel berkaitan

USIM tanam 200 pokok dalam kampus, jayakan penghijauan Malaysia 

USIM, Yayasan KRU jalin kerjasama dalam industri kreatif 

USIM, UPM anjur program keselamatan jalan raya untuk beri kesedaran kepada pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok