Mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak tahu bagaimana perjalanan hidup Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, 45, suatu masa dahulu.
Adakah kehidupan beliau sama seperti orang lain atau pun ada suka dan dukanya sebelum berjaya seperti hari ini.
Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian Mohd Radzi yang dimuat naik menerusi hantaran Facebooknya pada 14 Februari 2021.
Hantaran yang mendapat 10,000 tanda suka, 1,100 komen dan 2,800 perkongsian itu memaparkan secebis catatan hidup yang penuh pahit manis sebelum Mohd Radzi menjadi Menteri Kanan Pendidikan.
Kami di Sinar Bestari memetik beberapa komen dalam kalangan warga maya yang rata-ratanya melahirkan rasa sebak selepas membaca kisah hidup Mohd Radzi.
Antara yang sempat dikongsi
Hairun Neesa: Kisah yang penuh inspirasi. Tiada kejayaan yang datang dengan goyang kaki. Orang yang berjaya kini kebanyakan telah merasa jatuh bangun, namun tetap meneruskan perjalanan hingga ke titik terakhir.
Abdul Khalib: Tahniah! YB. Kisah perjalanan budak kampung yang kini pulang berbakti di negara sendiri. Semoga menjadi motivasi kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan. Semoga ALLAH permudahkan urusan YB!
[caption id="attachment_48329" width="600"] Kredit foto: Facebook Dr Radzi Jidin[/caption]
Ermahaniey Abdullah: Alhamdulliah, terima kasih Datuk atas kata-kata semangat, jerih perih dan cabaran KPM dalam menghadapi pelbagai tohmahan masyarakat terhadap sistem pendidikan norma baharu. Terima kasih juga atas keprihatinan Datuk terhadap anak-anak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Zaida Din: Tahniah! Pak cik. Ketereh tak pernah lekang dari bibir pak cik. Kami bangga jadi anak jati Ketereh.
Marhaida Mohd Noor: Orang yang hebat lahir daripada ibu bapa yang hebat. Moga anak kampung ini terus mencurahkan baktinya kepada anak bangsa. Semoga ALLAH berikan yang terbaik buat beliau.
Rashidah Din: Hebat budak kampung ini. Semoga menjadi inspirasi untuk budak-budak kampung yang lain. Ya ALLAH, lindungilah Menteri Pendidikan kami ini.
Selanjutnya mengenai kisah inspirasi berkenaan, Sinar Bestari paparkan di sini sebagai pembakar semangat buat semua.
*****
Dalam coretan bertarikh 14 Februari 2021, Mohd Radzi menggelarkan dirinya sebagai ‘budak kampung’ yang berasal dari Ketereh, Kelantan dan berpeluang menyambung pengajian ke La Trobe University, Bundoora, Melbourne, Australia bersama-sama lima sahabatnya iaitu Mat Pet, Atan, Ija, Sheila dan Nissa.
Dalam catatan itu, Mohd Radzi menulis yang dia tidak pandai berbahasa Inggeris berbanding rakan-rakannya yang lain.
Bagaimanapun, dia sentiasa mengingati pesanan ayahnya untuk berjaya, kita mesti berusaha, berikhtiar bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakal kepadaNya.
Menyedari kelemahannya itu, Mohd Radzi berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggerisnya itu.
Masa yang ada digunakan sebaiknya dengan mengikuti kelas sepertimana yang dijadualkan.
[caption id="attachment_48330" width="600"] Kredit foto: Facebook Dr Radzi Jidin[/caption]
Selain itu, budak kampung ini juga akan berdiri di hadapan pintu bilik pensyarah semata-mata mahu mendapatkan penjelasan berkaitan topik yang diajar.
Kerana kesungguhannya dalam mencari ilmu, pensyarah berkenaan pernah berkata kepada Mohd Radzi yang dia pasti mendapat A kerana usaha kerasnya untuk belajar.
Sambung Mohd Radzi dalam catatan itu lagi, pada suatu hari, hatinya tiba-tiba gelisah dan tidak tenteram ketika berada dalam dewan syarahan.
Dia mengambil keputusan untuk keluar dari dewan tersebut dan balik ke rumah. Itulah kali pertama dia tidak menghadiri kelas sejak belajar di universiti.
Tulisnya lagi, pada suatu malam, kedengaran deringan telefon di rumah seorang sahabat.
Rupa-rupanya, panggilan itu daripada abangnya yang mengambil peluang bertanya khabar diri Mohd Radzi.
Dalam perbualan itu, tiba-tibanya abangnya berkata:"Nak beritahu ni, abah dah tiada.”
Tiada apa yang dapat diungkap ketika itu. Hanya deraian air mata yang membasahi pipi.
Rupanya, abah ‘budak kampung’ ini meninggal dunia sekitar waktu yang sama di mana dia merasa cukup gelisah hari sebelumnya!
Di sebalik kesedihan kerana kehilangan abahnya ketika di perantauan dan dia tidak dapat pulang ke kampung, Mohd Radzi membulatkan tekad.
"Aku mesti meneruskan langkah ini.
"Aku akan sentiasa ingat pesan arwah abah iaitu 3B!”
Alhamdulillah, Mohd Radzi telah mendapat keputusan yang baik dan menerima anugerah salah seorang daripada tiga pelajar antarabangsa terbaik di fakultinya.
[caption id="attachment_48331" width="600"] Kredit foto: Facebook Dr Radzi Jidin[/caption]
Mohd Radzi berkata, coretan yang ditulis itu bukanlah ingin bercerita tentang kejayaannya tetapi ingin berkongsi bahawa setiap daripada kita melalui halangan, cabaran dan dugaan yang berbeza.
"Apa yang penting, kita terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik. Selebihnya kita terus berdoa dan bertawakal kepada yang Maha Esa,” tulisnya.
Akhir sekali, Mohd Radzi yang membahasakan dirinya pak cik dalam hantaran itu memberi kata-kata semangat kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malayisa (SPM).
"Lakukanlah yang terbaik dalam ruang lingkup kekangan yang ada.
"Selebihnya sama-sama kita berdoa dan berserah kepada yang Maha Esa,” kongsinya lagi.
[caption id="attachment_48332" width="600"] Kredit foto: Facebook Dr Radzi Jidin[/caption]
Sumber: Facebook Dr Radzi Jidin
Artikel berkaitan
KPM perkasa pelantar DELIMa 2.0, gabung 3 aspek penting untuk pembelajaran menyeronokkan
Guru Cemerlang kongsi petua melahirkan anak-anak hebat
Cara susunan fail bagi Calon Guru Cemerlang, ada 6 cadangan terbaik perkongsian Ustazah Aminah