Menjadi kebanggaan buat warga pendidikan negara apabila anak didik mereka diumumkan sebagai pemenang tempat pertama dalam empat kategori Universal Robotics Challenge (URC) 2022 yang diadakan secara dalam talian, baru- baru ini.
Universal Robotics Challenge ialah pertandingan robotik peringkat antarabangsa yang terbuka kepada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah rendah yang dianjurkan oleh Artec Co., Ltd. dari Jepun.
Untuk acara Idea Contest (kategori Junior), pemenang tempat pertama dinobatkan kepada Ahmad Aiman Danish Ahmad Syahir, Muhammad Harith Zaeem Hizamuddin, Adam Hariz Abdul Halim dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Melaka.
Pemenang tempat pertama Idea Contest (kategori Senior) pula ialah Muhammad Aliff Norhamizam, Muhamad Afif Muhamad Rizuan dan Zulhafidz Ngisa dari Sekolah Bina Insan Yayasan MSU.
Selain itu, Mi’ Mar Muhammad Sinan Hafizulfahmi dari Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin Gombak, Selangor muncul pemenang pertama dalam acara Virtual Robotics (kategori Junior) manakala Orhan Ghazi Hafizulfahmi dari sekolah yang sama pula memenangi tempat pertama untuk acara yang sama sama bagi kategori Senior.
Kesemua para pemenang bakal mewakili Malaysia untuk bertanding menentang peserta dari Australia, Chile, China, Colombia, Perancis, Jepun, Hong Kong, Macau, Filipina, dan Korea Selatan.
Acara tahunan yang dihoskan secara rasmi oleh Jawatankuasa Eksekutif Universal Robotics yang terdiri daripada 38 orang hakim dari 14 negara ini telah menerima 81 peserta dalam acara Idea Contest dan seramai 655 peserta dalam acara Virtual Robotics pada peringkat pusingan kebangsaan Malaysia.
Buat pertama kalinya sejak diperkenalkan pada 2017, URC menerima peserta dari negara-negara Amerika Latin seperti Colombia dan Chile di samping peserta baru dari China dan Filipina.
Ia akan diperluaskan lagi ke beberapa negara lain seperti Kanada, Mesir, Mexico, Arab Saudi, Thailand, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.
Menurut Ahli Jawatankuasa dan Presiden Artec Co., Ltd, Etsu Fujiwara, pihaknya bersyukur masih dapat menganjurkan URC 2022 meskipun terpaksa menghadapi kekangan akibat Covid-19.
[caption id="attachment_48555" width="404"] Ahli Jawatankuasa dan Presiden Artec Co., Ltd, Etsu Fujiwara.[/caption]
"Sememangnya hasil kerja yang ditampilkan oleh para peserta yang berdasarkan tema keselamatan trafik adalah di luar jangkaan.
"Tahniah kepada semua pemenang dan semua peserta URC 2022, semoga ini menjadi titik permulaan untuk terus menceburi bidang robotik,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Kemenangan yang diperoleh SK Sungai Udang bukanlah satu perkara yang mudah untuk dicapai.
Ini kerana, sekolah ini telah memulakan langkah dalam robotik dengan menyewa sebuah set ArtecRobo dan kemudiannya mendapatkan sebuah set ArtecRobo secara percuma melalui program Robot4School yang dianjurkan oleh Tech Up Kids Learning pada 2020.
Dalam Idea Contest, peserta diminta mencipta projek menggunakan set ArtecRobo sebenar dan memuat naik video di laman YouTube, manakala bagi acara Virtual Robotics pula, pelajar diuji dengan kemahiran pengaturcaraan menggunakan perisian simulator robotik dalam talian.
Artikel berkaitan
Inovasi Kit Booster bantu pelajar fahami proses elektrolisis
‘Fun@Laboratory’ tarik minat pelajar terhadap STEM
Techlympics 2022 anjuran FSKM UiTM Machang tarik minat pelajar aliran agama dalam bidang robotik