Pemergian pelajar Jabatan Siasah Syar'iyyah, Universiti Malaya (UM), Hussain Hakimi Ridzuan, 22, merupakan satu kehilangan besar buat sahabat-sahabatnya.
Dalam kejadian pukul 11.41 pagi, 21 November lalu, mangsa bersama tujuh rakannya yang lain pergi ke Kampung Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor untuk beriadah.
Namun, keseronokan bertukar tragedi apabila mangsa dipercayai lemas akibat arus deras sebelum ditemui di celah batu di lokasi kejadian.
Sementara itu, menerusi coretan di laman Facebook Rasydan Junuh yang merupakan salah seorang rakan terdekat arwah Hussain menyifatkan pemergian rakannya itu satu peringatan untuk terus kembali kepada ALLAH dan bermuhasabah tentang diri sendiri.
Marilah kita bersama-sama hayati perkongsian tersebut dan melihat bagaimanakah perwatakan sebenarnya arwah Hussain sehingga kehilangannya cukup dirasai rakan-rakan seperjuangan.
*****
Pemergianmu mengingatkan kami bahawa kematian itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja tidak mengira waktu dan umur. Ia turut mengingatkan kami untuk sentiasa bersedia bila-bila masa untuk menghadap Ilahi.
Aku yakin, dirimu telah pun bersedia menghadapNya dengan amalanmu yang tidak pernah putus (bacaan al-Mulk setiap malam, solat sunat witir sebelum tidur dan qiyamullail). Begitu juga dirimu setiap hari memikirkan tentang gerak kerja Islam dan ummah. Dirimu cukup memberikan kami inspirasi.
Sahabatku Hussain, pemergianmu sungguh dicemburui. Para pimpinan, para asatizah dan rakan-rakan seperjuangan mendoakan dan bercerita tentangmu. Pemergianmu adalah syahid sahabatku. Pemergianmu saat dirimu berada dalam perjuangan menegakkan kalimah ALLAH dan berjuang menuntut ilmu.
Tenanglah dirimu di taman-taman syurga dan syurga tertinggi kelak insya-ALLAH.
Berehatlah dari dunia yang penuh ujian ini. Kami juga akan menyusul. Moga kita bertemu di syurga sana sahabatku.
Dalam pada itu, turut merasai pemergian Allahyarham Hussain ialah pendakwah terkenal, Ustazah Norhafizah Musa.
"Sepanjang pilihanraya, Almarhum sentiasa membantu tidak kira malam atau siang dan sampai ke tengah malam bertanya sekiranya terdapat apa-apa yang boleh dilakukan lagi.
"Rehatlah wahai anak! ALLAH telah pilih hidupmu begitu indah. Lihatlah bagaimana orang sekelilingmu memujimu. Kamu selalu menjaga tahajjudmu. Kamu anak muda yang menangis di tikar sejadah. Allahuakbar,” ujarnya.
Artikel berkaitan
"Cikgu Farazi, kalau saya sakit atau berlaku apa-apa, cikgu mesti datang melawat tau, janji"
Tetap datang ke sekolah walaupun sakit, mulianya hatimu cikgu
Terkejut dengan pemergian rakan-rakan, satu kelas turut rasa sayu