'Cikgu Ya'...satu nama yang akan dikenang selama-lamanya oleh warga Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perdana, Alor Setar, Kedah walaupun beliau telah bersara wajib, baru-baru ini.
Warga sekolah, ibu bapa dan waris murid sendiri juga mengakui yang mereka amat sayangkan cikgu dek keperibadian dan sikap yang sangat mesra dan baik hati itu.
Seperti kata beberapa kenalan yang dipetik menerusi laman facebook seorang guru...
"Selamat bersara Cikgu Zakaria Hassan. Terima kasih sebab mengajar saya Matematik dulu sampai saya jadi cikgu Matematik kini. Best dapat belajar Matematik dengan cikgu. Doakan saya pun berjaya didik anak-anak minat dan bijak subjek ini.
"Cikgu Ya...anak-anak murid di sini cukup menyayangimu.
"Memang seorang guru yang hebat. Dia guru saya 1998-2003 di SK Alor Janggus. Walaupun tak ikut jejak langkah beliau jadi cikgu Matematik, tapi tak apalah, dapat jugak ikut jejak langkah beliau jadi seorang guru. Selamat bersara cikgu. Semoga sentiasa dalam keadaan sihat dan bahagia di samping keluarga tercinta. Dah ada hobi lepas bersara ke belum tu?.
"Selamat bersara Cikgu Ya. Cikgu yang sangat hebat dalam Matematik. Kami bekas anak murid Cikgu Ya sangat menyenangi sifat beliau. Semoga sentiasa bahagia di samping insan tersayang dan dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan yang baik.
"Cikgu Ya seorang guru yang sangat berdedikasi. Saya anak murid cikgu 30 tahun yang lalu di SKJT Gua Musang. Memang dari dulu Cikgu Ya dikenali dan disenangi ibu bapa. Selamat bersara cikgu. Terima kasih atas segala ilmu yang cikgu beri.
Mari ikuti keistimewaan guru hebat yang menjadi kesayangan ramai menerusi perkongsian seorang guru, baru-baru ini.
*****
Catatan bertarikh 2 Jun 2021
1 Jun 2021 bersamaan 20 Syawal 1442 berakhirlah sudah khidmat Cikgu Zakaria Hassan sebagai penjawat awam, memasuki alam persaraan.
Seorang guru besar yang sangat dedikasi sepanjang saya mengenalinya selama setahun setengah di SK Seri Perdana, Alor Setar, Kedah.
‘Cikgu Ya’ pernah menabur bakti di negeri Sarawak, Kelantan dan akhirnya kembali ke Kedah.
Antara sekolah di negeri Kedah yang sempat beliau menabur bakti ialah SK Alor Janggus.
Kemudian, khidmat dan kepakaran beliau diperlukan di JPN Kedah dan dalam beberapa tahun kemudian, turun semula ke sekolah sebagai guru besar di SK Dato’ Shaari, Kubang Rotan. Kemudian ditarik semula ke JPN Kedah, akhirnya kembali ke sekolah semula sebagai guru besar SK Seri Perdana sehingga bersara pada hari ini.
Di SK Seri Perdana, walaupun hanya sempat dua tahun, tetapi anak-anak murid di sini sangat menyayangi beliau, manakan tidak setiap hari dialah orang pertama sampai ke sekolah dan menunggu kehadiran murid di pintu pagar sekolah.
3S - ‘Sapa’, ‘Senyum’ dan ‘Salam’ setiap murid, guru, staf dan juga ibu bapa yang memasuki pintu pagar sekolah.
Boleh saya katakan semua guru, staf, pekerja sekolah bahkan sehingga ke pengawal keselamatan semuanya sangat senang bekerja dengan beliau, sentiasa bertanyakan keperluan guru dan stafnya bahkan setiap apa jua kesulitan guru dan staf sekolah dia akan jadi pemudahcara dengan bijaksana. Banyak bertolak ansur dalam apa jua keadaan.
Ibu bapa dan waris mana yang tak kenal dengan ‘Cikgu Ya’ pasti mereka akan ingat dengan perubahan landskap dan keceriaan sekolah yang telah dilakukan oleh beliau.
Terima kasih atas segalanya.
Untuk Cikgu Ya, Sinar Bestari mengucapkan selamat bersara dan semoga diberi anugerah kesihatan, keselamatan, kebahagiaan dan kejayaan pada masa akan datang.
Selamat bersara, jasamu di kenang.
Artikel berkaitan
Gadis Cina fasih berbahasa Melayu, Mek Yun UTHM raih 2 anugerah
35 tahun jadi pendidik, Cikgu Zah kini dinobat penerima Tokoh Guru Terengganu 2022
"Baju kotor dan lambat sangat datang ke sekolah, kenapa?”