Murid jadi saintis cilik, teroka dunia toksikologi

Iklan
Sebahagian peserta Program Eksplorasi Toksikologi 4.0 yang menyertai pelbagai aktiviti interaktif bagi mengenali dunia toksikologi dengan lebih dekat.

Berbekalkan rasa ingin tahu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pahu dan SK Rangalau Baru dari Sabah berpeluang meneroka dunia sains menerusi pelbagai aktiviti pembelajaran kreatif dan interaktif dalam Program Eksplorasi Toksikologi 4.0 di Shangri-La Rasa Ria, baru-baru ini.

Pengalaman itu memberi peluang kepada murid mengenali toksikologi iaitu bidang sains yang mengkaji kesan bahan tertentu terhadap kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.

Iklan
Iklan

Menerusi program anjuran Persatuan Pelajar Satu Kesihatan (OHSC), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Persatuan Toksikologi Malaysia (MySOT) dan Shangri-La Rasa Ria, murid didedahkan kepada konsep toksikologi melalui pendekatan yang lebih dekat dengan kehidupan seharian. 

Penganjuran memasuki tahun keempat itu bertujuan meningkatkan kefahaman murid terhadap kepentingan toksikologi, selain menyemai minat terhadap bidang sains sejak peringkat sekolah rendah.

Iklan

Tidak hanya menerima penerangan, murid turut diberi ruang untuk membuat pemerhatian, mengemukakan soalan, menilai bukti dan mencadangkan penyelesaian menerusi aktiviti yang disediakan.

Pendekatan pembelajaran secara langsung itu membantu menjadikan konsep sains lebih mudah difahami, sekali gus menggalakkan murid berfikir secara kritis dan meneroka perkara baharu. 

Iklan

Majlis perasmian program disempurnakan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), FPSK UMS, Dr Mohammad Firdaus Bolong @ Mohd Darwis.

Turut hadir Penasihat OHSC UMS, Profesor Madya Dr Zulkhairul Naim Sidek Ahmad.

Sementara itu, Naib Presiden MySOT, Profesor Madya Ts Dr Razinah Sharif berkata, pendidikan toksikologi boleh diperkenalkan sejak peringkat sekolah rendah menerusi aktiviti yang mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan seharian.

Katanya, program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyampaikan ilmu, malah mahu membina keberanian murid untuk bertanya, meneroka dan memahami kesan bahan di sekeliling mereka terhadap kesihatan serta alam sekitar.

"Melalui program ini, kami mahu murid berani bertanya, meneroka dan memahami bagaimana bahan di sekeliling mereka boleh mempengaruhi kesihatan serta alam sekitar.

"Aktiviti yang menyeronokkan memberi ruang kepada mereka untuk membuat pemerhatian, menilai bukti dan mencadangkan penyelesaian," katanya.

Terdahulu, program menerima tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Program STI 100³ Tahun 2026.

Shangri-La Rasa Ria pula memberikan sokongan melalui penyediaan tempat, kemudahan dan sajian, selain bimbingan daripada fasilitator mahasiswa UMS serta guru pengiring.