Inovasi pelajar SMK Rawang raih pingat emas

Iklan
Pasukan Armomet (atas) dan Secuwapeat (bawah) mengharumkan nama SMK Rawang melalui penghasilan inovasi, baru-baru ini.

Dua pasukan inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rawang, Selangor meraih pingat emas dalam International Intelligence Frontier Science Innovation Competition 2023, di Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.

Pasukan Armomet dan Secuwapeat SMK Rawang berjaya menghasilkan inovasi unik dan hebat sekali gus menarik perhatian juri pertandingan.

Iklan
Iklan

Pasukan Armomet yang dianggotai empat pelajar aliran Sains Tulen iaitu Ahdi Jain, Muhammad Firas Imran Mohammad Ilyas, Keerthen Logendren dan Muhammad Azhad Wafiq Faizal serta Cikgu Nor Lelawati Hassan selaku guru pembimbing, menghasilkan helmet motosikal yang berfungsi dengan menggunakan sensor dan microprocessor pada helmet dan bateri motosikal.

Selain itu, ia juga berfungsi mencegah kehilangan motosikal.

Iklan

Manakala Secuwapeat pula membangunkan inovasi dalam bidang agroteknologi iaitu menghasilkan tanah baja daripada sisa batang tebu yang telah digunakan.

Inovasi yang diberi nama Secuwapeat adalah hasil idea dan kreativiti empat pelajar aliran Sains Tulen yang diketuai Cikgu Shaiful Anuar Haron iaitu Ain Qistina Ahmad Muzammir, Aishmeera Paneeselvam, Nur Izzah Atirah Muhamad Jefri dan Arianna Marisya Mohd Izhar.

Iklan

Berkongsi kegembiraan dengan Sinar Bestari, Cikgu Nor Lelawati berkata, dia bangga dan terharu dengan pencapaian semua anak-anak didiknya.

"Segala penat lelah menghasilkan inovasi Armomet dan Secuwapeat akhirnya diberikan penghargaan.

Dua pasukan inovasi SMK Rawang meraih pingat emas dalam International Intelligence Frontier Science Innovation Competition 2023.

"Saya doakan SMK Rawang akan terus melahirkan barisan pelajar dan guru-guru yang sentiasa membangunkan pelbagai inovasi terutamanya dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM),” jelasnya selaku Guru Kanan Mata Pelajaran Sains dan Matematik.

Sementara itu, pengetua SMK Rawang, Mohamadd Isa Mat Jali mengharapkan setiap peserta pertandingan dapat menambahkan minat dalam penciptaan dan inovasi STEM terutamanya inovasi robotik dan teknologi buatan (AI).

"Penyertaan pelajar-pelajar ini adalah permulaan kepada usaha membudayakan STEM dan menyumbang ke arah pembangunan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) negara.

"Mereka harus menanam sikap sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah dengan menghasilkan ciptaan dan inovasi baharu,” ujarnya.

Cikgu Mohamadd Isa (kiri, duduk), Cikgu Nor Lelawati (kanan, duduk) bersama pasukan Armomet yang membangunkan helmet motosikal, berfungsi dengan menggunakan sensor dan microprocessor pada helmet dan bateri motosikal.

INFO

1) Inovasi Armomet terpilih ke peringkat kebangsaan (mewakili Selangor) dalam pertandingan Inovasi Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (PISTEK). Enam sekolah yang memenangi PISTEK mewakili Malaysia di Antarabangsa ISEF, Los Angeles, Amerika Syarikat pada April 2024.

2) Naib johan Karnival Inotek STEM Tahun 2023 Peringkat Negeri (inovasi Armomet).

3) Armomet dan Secuwapeat raih pingat emas dalam International Intelligence Frontier Science Innovation And Competition 2023.