Tidak semua orang mampu berdiri di pentas antarabangsa, apatah lagi membawa pulang pingat emas untuk negara.
Namun, bagi pelajar istimewa dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, Muhammad Syakir Zailani, kejayaan itu menjadi bukti bahawa dirinya juga mampu melakukan sesuatu yang membanggakan.
Walaupun merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori Ketidakupayaan Pembelajaran, Muhammad Syakir tidak pernah menjadikan keadaan dirinya sebagai alasan untuk berhenti mencuba.
Sebaliknya, anak muda berusia 17 tahun ini terus melangkah, mengasah bakat dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan membuktikan bahawa dia juga mempunyai keistimewaan tersendiri.
Terbaharu, Muhammad Syakir sekali lagi terpilih mewakili Malaysia ke pertandingan Global IT Challenge for Youth with Disabilities (GITC) di Vietnam dari 26 hingga 30 Oktober ini.
Ini merupakan kali keempat Muhammad Syakir menyertai pertandingan berprestij itu.
Difahamkan, pada tahun 2023, Syakir menyertai GITC di Dubai dan berjaya meraih pingat emas dalam kategori e-Tool Spreadsheet.
Setahun kemudian, dia kembali menyertai pertandingan sama di Manila, Filipina dan sekali lagi mencipta kejutan apabila membawa pulang dua pingat emas menerusi kategori e-Tool Spreadsheet dan e-Life Map.
Tiga pingat emas dalam dua penyertaan terdahulu menjadi bukti kebolehan Muhammad Syakir dalam bidang yang diminatinya.
Kini, Vietnam menjadi destinasi seterusnya buat Muhammad Syakir untuk mengembangkan bakat dan menimba pengalaman baharu.
Kali ini, dia bakal bertanding dalam kategori E-Content. Seluruh warga sekolah dan rakyat Malaysia pastinya mengharapkan yang terbaik buat anak muda ini.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memaklumkan, anak-anak istimewa juga mempunyai potensi luar biasa, impian yang besar dan peluang untuk berdiri sama tinggi di pentas dunia.
"Mereka mungkin mempunyai cabaran yang berbeza, tetapi itu tidak pernah menjadi penghalang untuk mencipta kejayaan.
"Apa yang mereka perlukan ialah peluang, kepercayaan dan sokongan berterusan daripada kita semua," kongsinya dalam satu hantaran di Facebook.
Buat adik Muhammad Syakir, warga Sinar Bestari mendoakan agar segala urusan sepanjang pertandingan di Vietnam dipermudahkan ALLAH SWT.
Semoga anda diberikan keyakinan untuk menampilkan kemampuan terbaik, memperoleh pengalaman bermakna dan jika diizinkan, membawa pulang satu lagi kejayaan buat Malaysia.