Prihatin terhadap kesukaran guru berkaitan penggunaan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berusaha menambah baik bagi meningkatkan pengoperasian penggunaannya.
Menurut KPM, pemantauan bagi pengoperasian SPPB dilaksanakan menerusi aplikasi Application Performance Monitoring (APM).
"Hasil pemantauan secara berterusan melalui aplikasi APM mendapati terdapat peningkatan akses pengguna sehingga menyebabkan sistem keseluruhan menjadi perlahan disebabkan pembacaan data yang tinggi.
"Justeru, KPM mengambil beberapa langkah penting bagi meningkatkan pengoperasian SPPB termasuk menambah baik dan mengoptimumkan kod pengaturcaraan, meningkatkan kapasiti server dan melaksanakan tuning konfigurasi server.
"KPM juga sentiasa berusaha meningkatkan pengoperasian sistem SPPB untuk membantu memudahkan tugas guru selain memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terpelihara," ujarnya dalam kenyataan media pada Khamis.
Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai SPPB boleh dikemukakan dengan menghubungi talian hotline 03-8884 3632 atau menerusi ICT Service Desk (ISD) https://isd.moe.gov.my/.
Sebelum itu, SPPB adalah satu sistem pengurusan pentaksiran yang berterusan dan menyeluruh bagi semua jenis pentaksiran KPM.