Vape masih trend dalam kalangan belia

Iklan
Jangan sesekali mencuba vape kerana risiko ketagihannya cukup tinggi. Gambar kecil: Fatimah Azzahra.

'Vape' berasal daripada perkataan Inggeris yang bermaksud proses pengewapan.

Fungsinya hampir sama seperti rokok konvensional, cuma berbeza reka bentuk dan cecair perisa yang berlainan.

Iklan
Iklan

Penggunaan vape atau rokok elektronik semakin meningkat saban tahun dan situasi itu sungguh membimbangkan.

Walaupun telah dimaklumkan akan risiko dan akibat, penggunanya masih terus menggunakannya tanpa menghiraukan kata-kata orang lain seperti kata pepatah Melayu ‘bagai mencurah air ke daun keladi’.

Pengaruh media sosial juga adalah antara faktor yang menggalakkan penggunaan vape dalam kalangan orang muda. Mereka menjadikan pempengaruh (influencer) di media sosial sebagai model dan mencontohi apa yang mereka lakukan.

Iklan

Seterusnya, kebanyakan daripada mereka juga masih tidak sedar betapa bahayanya nikotin yang terdapat di dalam cecair vape.

Nikotin mampu berfungsi sebagai racun perosak dan menyebabkan ketagihan kepada penggunanya.

Iklan

Pendek kata, hampir semua vape di pasaran mengandungi nikotin walaupun telah dilabelkan free nicotine. Pengguna yang tertipu dengan label tersebut menganggap vape bebas nikotin lebih baik daripada rokok konvensional.

Kesannya, ketagihan yang dialami akan memberi impak negatif terhadap fungsi kognitif dan juga boleh membawa kepada penyakit kemurungan.

Selain itu, penggunaan vape secara berterusan juga boleh menjadi permulaan kepada rokok konvensional. Beberapa kajian menunjukkan remaja yang menggunakan vape mempunyai risiko lebih tinggi untuk beralih kepada rokok konvensional.

Bukan itu sahaja, pengguna vape atau rokok elektronik dikhuatiri terjerumus dengan najis dadah oleh kerana ketagihan yang dialami.

Masalah sosial

Penggunaan vape dalam kalangan belia akan menyebabkan peningkatan masalah sosial.

Melepak sambil menghisap vape antara salah satu masalah sosial yang sering terjadi di luar sana. Hal ini telah memberikan imej negatif kepada golongan muda masa kini dan menyebabkan kurangnya nilai disiplin dalam diri seseorang.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun mencatatkan peningkatan ketara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menyatakan, terdapat peningkatan sebanyak 14.9 peratus tahun lalu berbanding 9.8 peratus pada 2017.

"Peningkatan turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu dari 2.8 peratus pada 2017 meningkat kepada 6.2 peratus (2022).

"Perkara ini jelas menunjukkan penggunaan kedua-duanya menyumbang kepada keruntuhan akhlak," ujarnya.

Muhammad Radzi berkata, penggunaan rokok elektronik telah terbukti mendatangkan kemudaratan kepada pengguna kerana kandungan dalam cecair rokok elektronik dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang memberi kesan keradangan kepada lapisan paru-paru.

Akhirnya, individu tersebut berisiko mengalami kecederaan paru-paru atau E-cigeratte or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI).

Sementara itu, penyakit EVALI memerlukan kos rawatan yang tinggi iaitu sekitar RM150,000 dan jika tidak bernasib baik pesakit akan berakhir dengan kematian.

Turut diikuti juga masalah pada sistem pernafasan, kanser paru-paru dan penyakit kardiovaskular yang sering dilaporkan di hospital kerajaan.

Ini merupakan ancaman serius terhadap kesihatan masyarakat terutamanya golongan muda yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.

Kesimpulannya, kita perlu sedar penggunaan vape boleh mengundang risiko kesihatan dan memberi kesan negatif kepada pembangunan masyarakat.

Langkah proaktif haruslah diambil dengan segera untuk mengurangkan penggunaan vape dalam kalangan belia.

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu memberi kerjasama dengan pihak kerajaan dalam membanteras masalah ini dan sentiasa memperingati antara satu sama lain bagi mengurangkan kadar kematian disebabkan penggunaan vape.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Fatimah Azzahra Amrin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my