Miliki masa depan cerah sebagai petinju negara dan dunia

Iklan
Dua pelatih tinju di Physique Nation Boxing Academy beraksi dalam gelanggang.

Sudah nama pun sukan lasak tinju, pastinya sering dikaitkan dengan unsur keganasan menyebabkan kecederaan serius pada mereka yang terlibat secara aktif dalam sukan ini.

Namun peredaran zaman telah mengubah persepsi negatif terhadap sukan tersebut, selain ia semakin mendapat perhatian umum apatah lagi kini munculnya jaguh yang mengangkat nama Malaysia sebagai atlet tinju negara.

Iklan
Iklan

Jurulatih di kelab tinju, Physique Nation Boxing Academy yang terletak Desa Pinggiran Putra, Putrajaya, Qhal Iskandar berkata, sukan lasak itu telah diolah dan ditambah baik dengan menekankan unsur keselamatan kepada setiap atlet yang terlibat.

"Saya faham rata-rata ibu bapa kurang bersetuju apabila ada anak-anak yang berminat menceburi sukan lasak seolah-olah ia tiada masa depan dan bahaya.

Qhal

Iklan

"Tetapi sekarang, sukan ini sudah ditambah baik dan sudah melahirkan beberapa jaguh hebat antaranya Jojo (Muhammad Johan Ghazali) yang berjaya di usia 16 tahun.

"Justeru, saya merasakan tinju boleh dijadikan kerjaya seseorang pada masa akan datang, sekali gus lebih ramai atlet tinju yang mampu membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari secara eksklusif, baru-baru ini.

Iklan

Bermula sebagai ahli muay thai

Bercerita mengenai penglibatan awalnya sebagai jurulatih tinju, karier Qhal bermula sebagai seorang ahli muay thai pada tahun 2006.

Semangat dan kecekalan untuk terus terlibat dalam sukan lasak itu mendorong Qhal membuka kelab tinju pada 2016 dan kini seramai 30 anak didik menuntut ilmu seni mempertahankan diri tersebut daripadanya.

Di kelab itu, anak-anak didik tidak hanya diberi tunjuk ajar tentang tinju semata-mata tetapi juga didedahkan dengan sukan lasak lain antaranya kickboxing dan muay thai’.

Qhal (tengah) memberi taklimat awal sebelum memulakan perlawanan tinju antara anak didiknya.

"Sekarang ini kelab tinju saya telah ditambah baik sejak awal penubuhannya khusus buat mereka yang berminat untuk menceburi bidang sukan tinju sama ada untuk terlibat dalam sebarang pertandingan atau sekadar hobi.

"Perkara yang membakar semangat saya untuk membuka kelab tinju sendiri adalah kerana kurangnya pendedahan sukan lasak di Malaysia,” ujarnya.

Dari ‘zero to hero’

Ketika ditanya mengenai keunikan dan kelebihan sukan tinju, Qhal, 40, berpendapat ia mampu melahirkan seseorang individu daripada zero to hero.Jelasnya, kebanyakan pelajar yang datang menuntut ilmu mempertahankan diri di kelab tersebut tidak mempunyai pendidikan asas sukan berkenaan.

"Akan tetapi dengan hasil usaha dan semangat yang jelas untuk mengubah diri masing-masing, saya lihat sukan ini berjaya menjadikan seseorang itu ke arah lebih baik.

"Sukan tinju ini boleh memperbaiki seseorang dari sudut ketangkasan dan kekuatan.

"Saya sendiri berminat dengan tinju sebab ia bukan sahaja salah satu bentuk aktiviti yang sihat tetapi secara tidak langsung mengajarkan ilmu pertahankan diri.

"Ia penting untuk sesiapa sahaja tanpa mengira jantina kerana tinju adalah salah satu aktiviti yang berfaedah untuk diri sendiri,” tuturnya lagi.

Qhal menegaskan disiplin antara nilai penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap ahli tinju.

Sebagai seorang yang sudah lama terlibat dalam bidang sukan itu, Qhal turut menegaskan, kejayaan seseorang atlet tinju adalah bermula daripada bakat dan disiplin.

Tegasnya, walaupun terdapat antara mereka yang datang menuntut ilmu tidak mempunyai bakat, namun ia masih boleh dilatih serta diiringi dengan disiplin yang tinggi.

"Saya selalu beritahu pada anak-anak muda yang baru bermula dengan sukan tinju ini untuk sentiasa fokus dengan matlamat yang ingin dicapai dan sentiasa rajin untuk berlatih.

"Walaupun ada kalanya kalah dalam pertandingan, janganlah lepas bertanding terus hilang kerana itu adalah satu permulaan sebagai seorang juara,” katanya.