Mahasiswa UMS hasilkan kerapu hibrid

Iklan
Warga IPMB ketika sesi pemberian makanan di Hatceri UMS.

Kejayaan menghasilkan ikan kerapu hibrid antara faktor Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCoE) untuk penghasilan benih ikan marin yang bernilai tinggi.

Menurut Pengarah IPMB, Profesor Madya Dr Ching Fui Fui, IPMB menerima pengiktirafan itu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan skim geran dana HiCoE sebanyak RM6.75 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, IPMB merupakan HiCoE pertama di Borneo dengan bidang penyelidikan berfokus kepada Sekuriti Makanan Laut yang menjurus kepada penghasilan benih ikan bernilai tinggi seperti ikan kerapu dan ikan maming.

"IPMB telah melakar sejarah dalam industri akuakultur kerapu dengan kejayaan menghasilkan ikan kerapu hibrid sebelum ini, yang mempunyai kadar pertumbuhan pantas dalam tempoh tujuh bulan berbanding tiga tahun bagi ikan kerapu biasa.

Iklan

"Pertumbuhan pantas ikan kerapu ini penting untuk memenuhi permintaan pasaran makanan laut bukan sahaja di Malaysia tetapi juga rantau Asia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Hatceri Ikan IPMB sempena lawatan kerja sulungnya ke UMS, baru-baru ini.

Iklan

Turut mengiringi lawatan itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor.

Fui-Fui berkata lagi, selain ikan kerapu, IPMB juga giat menjalankan penyelidikan ikan maming dalam pelbagai aspek.

"Ini termasuklah genetik dan pembiakan, pemakanan dan kesihatan serta pengurusan sistem ternakan.

"Setakat ini, IPMB telah berjaya mengenal pasti jantina dan tahap kematangan induk ikan maming dan berupaya memperolehi telur ikan maming yang berkualiti dan sedia disenyawakan," katanya.

Spesies ikan Maming yang terdapat di Hatceri Ikan UMS.

Sementara itu, Kasim berkata, impak penyelidikan ikan kerapu hibrid UMS telah menghasilkan nilai ekonomi sebanyak AS$630 juta seperti yang didokumentasikan Food and Agriculture (FAO) pada tahun 2015 dan nilai ekonominya terus meningkat sehingga kini.

"Saya yakin kejayaan yang sama boleh dilakukan terhadap ikan-ikan bernilai tinggi lain khususnya ikan maming bagi memastikan keterjaminan makanan laut menerusi penghasilan benih ikan berkualiti tinggi.

"Usaha ini dijangka mampu mengurangkan isu kepupusan ikan bernilai tinggi yang akan menjamin kelestarian sumber perikanan, selain memacu sumber ekonomi menerusi kerjasama dengan rakan akuakultur dan industri," katanya.

Pada lawatan itu, Kasim turut menzahirkan penghargaan kepada KPT atas penyaluran dana sebanyak RM3 juta untuk tahun pertama pelaksaaan program HiCoE IPMB.

HiCoE IPMB juga akan bekerjasama dengan Kindai Universiti dan beberapa universiti di dalam dan luar negara serta kerajaan Sabah dalam memacu ekonomi biru yang menjadi agenda pembangunan negeri Sabah sebagai hab ekonomi negara.