Kisah seorang guru 'duka lara' yang diceraikan suaminya kerana gagal menukar tempat kerja selepas 12 tahun berjauhan membuatkan ramai sebak.
Masakan tidak, hanya kerana tinggal berasingan, mereka bercerai jua.
Guru ‘duka lara’ merujuk kepada guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing akibat perbezaan tempat bertugas.
Sehingga kini, ramai cikgu yang berada dalam situasi perhubungan jarak jauh kerana komitmen mereka sebagai pendidik.
Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang berusaha menangani episod guru ‘duka lara’ tersebut.
"Kementerian akan mempertimbangkan semua permohonan guru berdasarkan kepentingan pendidikan sebelum proses pertukaran diluluskan.
"Ia kerana, permohonan pertukaran mengambil kira banyak faktor dengan semuanya dilakukan mengikut proses sedia ada,” ujarnya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang, Sungai Suloh, Batu Pahat, Johor, pada Khamis.
Menurut Fadhlina, permohonan pertukaran guru berlangsung secara berterusan iaitu sebanyak empat kali setahun berdasarkan rekod cuti sekolah.
"Saya fikir proses pertukaran guru jarak jauh ini sudah dijalankan dan KPM akan pertimbangkan semua permohonan berdasarkan kriteria ditetapkan.
"Faktor tertinggi untuk diambil kira bagi proses pertukaran adalah suami isteri yang terpisah secara jauh.
"Justeru, kementerian berusaha dan mengambil pendekatan bagi menyatukan semula mereka,” jelasnya lagi.