Sektor pelancongan merupakan antara industri penting dalam ekonomi negara kita.
Menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO), pelancongan ditakrifkan sebagai aktiviti bagi individu yang suka mengembara dan berada di luar kawasan tempat tinggalnya dengan tujuan bersiar-siar, perniagaan dan perkara lain.
Dalam perspektif Bahasa Melayu, pelancongan dan melancong membawa maksud berbeza.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, pelancongan berasal daripada perkataan lancong atau melancong yang membawa maksud melawat sambil bersenang-senang.
Dalam Bahasa Inggeris, pelancongan diterjemahkan sebagai tourism manakala melancong pula diertikan travel.
Namun persoalannya, bolehkah seorang muslimah melancong secara solo? Adakah mereka memerlukan peneman sekiranya ingin melancong di dalam mahupun di luar negara?
Dewasa kini, timbul trend pelancongan secara solo dalam kalangan wanita.
Wanita yang melancong sedemikian cuba untuk mencorakkan dan melakarkan inspirasi pengembaraan bersendirian.
Walau bagaimanapun, isu keselamatan perlu dititikberatkan bila mana merancang untuk melancong secara solo.
Isu mengenai jaminan keselamatan dalam kalangan pelancong wanita bukan satu perkara yang baharu.
Kadang-kala pelancong solo wanita berdepan dengan pelbagai isu jenayah seperti rompakan, ragut, rogol, bunuh, kehilangan barang-barang peribadi dan lain-lain.
Malah ada juga pihak dengan sengaja mengenakan pelancong wanita yang bersendirian tanpa peneman.
Kajian akademik bertajuk Ancaman dan Kesedaran Pelancong Solo Wanita terhadap Aspek Keselamatan Semasa Percutian di Kota Kinabalu menunjukkan ancaman diragut atau dirompak paling membimbangkan iaitu melibatkan 74.2 peratus (69 orang) manakala ancaman diculik dan dirogol masing-masing merekodkan 44.1 peratus (41 orang).
Ancaman lain adalah kemalangan (41.9 peratus), bencana alam (36.6 peratus), keracunan makanan (29.0 peratus) dan penyakit (20.4 peratus).
Dapat dijelaskan di sini, isu keselamatan bagi wanita melancong secara solo amatlah membimbangkan dan perlu diambil berat.
Hukum melancong secara solo
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah memberi penerangan yang amat jelas tentang hukum melancong solo bagi wanita.
Beliau menerangkan, hukum melancong bersendirian bagi wanita adalah harus namun mestilah berdasarkan beberapa syarat iaitu wanita mestilah berada dalam keadaan aman terhadap diri, agama, maruah, masa permusafiran sama ada dalam perjalanan, ketika di destinasi dan juga semasa pulang.
Mereka juga perlu mendapatkan keizinan mahram dan wali terdekat. Malah, kaum wanita dinasihatkan tidak bermusafir ke tempat-tempat yang boleh mendatangkan fitnah atau memberi mudarat terhadap dirinya.
Jadi adalah baiknya seseorang wanita yang mahu melancong untuk pergi bersama sekumpulan wanita ataupun ditemani mahram mereka.
Kesimpulannya, wanita yang mahu mengembara secara bersendirian dibolehkan namun bersyarat bagi memastikan keselamatan mereka terjaga dan terjamin.
Maklumat Penulis
Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Siti Nur Umairah Ahmad dan Siti Daleela Mohd Wahid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my