Pendekatan generasi Z (Gen Z) terhadap penyembuhan (healing) dan kesejahteraan dalam diri telah menyaksikan perubahan luar biasa jika dibandingkan generasi sebelumnya.
Dengan kesedaran tinggi tentang isu kesihatan mental dan penekanan pada kesejahteraan holistik, Gen Z telah mengamalkan pelbagai amalan yang mengutamakan penjagaan diri dan keseimbangan emosi.
Apakah yang dimaksudkan dengan terma healing ini?
Apakah yang mendorong Gen Z berkenaan melakukan aktiviti healing?
Apakah kegiatan healing ini memberi impak positif kepada kesihatan mental masyarakat kita?
Segelintir generasi millennials danGen Z juga tidak terasing dengan penggunaan terma ini kesan daripada penggunaan media sosial dan masyarakat sekeliling.
Sejak kebelakangan ini, istilah healing telah menjadi satu trend atau propaganda berleluasa di platform sosial media.
Trend tersebut bermulanya daripada platform TikTok yang berbunyi"Tengah healing ke tu?”
Banyak perkongsian yang dibuat oleh masyarakat untuk memaparkan cara-cara mereka sedang dalam mood healing.
Antara cara healing paling popular dalam media sosial ketika ini ialah melancong dan beriadah sama ada secara solo mahupun berkumpulan.
Faedah yang diperolehi daripada perkongsian ini secara tidak langsung boleh membantu sesiapa yang di dalam tekanan, meningkatkan fokus dan menggalakkan kesihatan mental secara keseluruhan.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 melaporkan, golongan dewasa dan belia Malaysia telah mengalami masalah kemurungan, kebimbangan dan kesulitan dalam menghadapi tekanan.
Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat umur telah menemui penyelesaian untuk mengatasi ujian dan cabaran dengan meluangkan masa dengan aktiviti sihat iaitu cara penyembuhan.
Namun, bukan semua individu mengambil pendekatan healing untuk melegakan tekanan sebaliknya wujud segelintir individu menggunakan healing sebagai pendekatan meluangkan masa dengan aktiviti bersama keluarga, rakan mahupun pasangan.
Bagi segelintir individu, healing membantu meredakan rasa keresahan dan stres disebabkan pelbagai faktor seperti tekanan kerja, masalah peribadi dan sebagainya.
Menerusi petikan akhbar tempatan yang menyatakan healing adalah teknik berkesan dalam membantu individu merasa lebih tenang.
Kenyataan tersebut dikongsi Pengarah Bahagian Pembangunan Psikologi, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Raja Kamariah Raja Mohd Khalid.
Bukan itu sahaja, teknik healing dapat membantu dalam proses pemulihan kendiri khususnya ketika melalui pancaroba dalam kehidupan.
Walau bagaimanapun, setiap individu mempunyai keperluan pemulihan yang berbeza.
Mood healing boleh menjadi suasana yang tenang dan diikuti dengan melakukan refleksi terhadap diri sendiri.
Kesan daripada ini, sedikit sebanyak membantu dalam pengurusan stres dan tekanan generasi kini.
Dengan menggiatkan diri dalam pelbagai aktiviti fizikal dapat menyembuhkan jiwa dan menjadikan rutin harian atau mingguan dengan produktif.
Di samping itu, dengan meluangkan masa untuk melakukan aktiviti demikian, individu juga dapat meneroka pelbagai tempat menarik dan mengeratkan hubungan antara keluarga dan rakan.
Trend healing dalam kalangan Gen Z ini merupakan pendekatan proaktif dalam mencapai kesejahteraan jiwa dan mental.
Dek kerana minat generasi ini untuk menerokai pelbagai amalan yang memenuhi kesihatan holistik mereka, ia sekali gus membantu menyokong perbincangan terbuka dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengurusan stres yang betul dalam menjaga kesihatan mental masing-masing.
Maklumat Penulis
1) Mahasiswa jurusan Pentadbiran Perniagaan Pemasaran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nur Faeizah Mohd Shafee
2) Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Dr Siti Daleela Mohd Wahid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my