Dewasa kini, kita dapat menyaksikan kemerosotan moral dan disiplin dalam kalangan pelajar yang semakin serius. Kes-kes seperti buli, rogol, merokok dan vandalisme dilihat semakin berleluasa, seolah-olah menjadi perkara biasa dalam persekitaran sekolah.
Kuasa guru untuk mendisiplinkan pelajar semakin terhakis. Guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk sahsiah, akhlak, dan disiplin pelajar.
Melalui contoh teladan yang baik, amalan positif yang berterusan, pengintegrasian nilai murni dalam pengajaran, serta usaha pengukuhan dan penilaian berterusan, para guru menjadi tonggak utama dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia, dan berdisiplin.
Namun demikian, kekangan birokrasi dalam sistem pendidikan semakin memburukkan keadaan apabila guru seolah-olah kehilangan kuasa untuk mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap pelajar.
Birokrasi yang ketat serta beban tugas pentadbiran yang berlebihan sering kali membataskan kreativiti dan autoriti guru dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan berkesan.
Lebih membimbangkan, setiap kali guru bertindak tegas, ia sering menimbulkan kontroversi dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang cepat mempersoalkan tindakan tersebut tanpa memahami situasi sebenar.
Banyak kes menunjukkan tindakan disiplin oleh guru menjadi bahan tular di media sosial, malah ada yang berakhir dengan aduan ibu bapa dan siasatan oleh pihak berkuasa pendidikan.
Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan reputasi guru, tetapi turut melemahkan semangat mereka untuk mendidik dengan tegas secara berterusan.
Dalam sesetengah keadaan, video atau kenyataan yang disebarkan sering diputar belit tanpa mengetahui situasi sebenar, menyebabkan guru dihukum oleh persepsi masyarakat sebelum siasatan selesai. Keadaan ini akhirnya menimbulkan rasa takut dalam kalangan pendidik untuk mengambil tindakan disiplin, sekali gus mengurangkan keberkesanan usaha membentuk sahsiah pelajar.
Sebagai contoh, pada tahun lalu seorang guru, Lau Teik Hwa, 47, dihadapkan ke mahkamah selepas didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun menggunakan rotan.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail. Kes ini menggambarkan dilema besar dalam dunia pendidikan iaitu cabaran untuk menyeimbangkan antara usaha menegakkan disiplin dengan keperluan melindungi hak pelajar serta menjaga profesionalisme guru.
Tambahan lagi, perlindungan terhadap hak pelajar daripada sebarang bentuk kekerasan di sekolah kini menjadi fokus utama dalam sistem pendidikan masa kini.
Para guru digalakkan mengamalkan pendekatan yang lebih berhemah seperti bimbingan psikologi, komunikasi berkesan serta sistem ganjaran dan hukuman tanpa melibatkan kekerasan fizikal bagi membentuk disiplin pelajar.
Namun dalam masa yang sama, guru juga perlu diberikan perlindungan undang-undang dan ruang profesional yang sewajarnya supaya mereka dapat mendidik dengan tegas tanpa melanggar batas etika dan peraturan.
Keadaan ini menyebabkan ramai guru memilih untuk tidak lagi mengambil tindakan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan kerana bimbang akan implikasinya.
Mereka khuatir disaman atau dikenakan tindakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekiranya tindakan mereka disalah tafsir. Fenomena guru yang takut mengambil tindakan ini sememangnya wujud dan memberi kesan besar terhadap disiplin serta suasana keseluruhan di sekolah.
Guru yang tidak menerima sokongan institusi atau perlindungan undang-undang akan hilang motivasi dan keberanian untuk menegakkan disiplin.
Akibatnya, pelajar semakin berani melanggar peraturan dan kehilangan rasa hormat terhadap guru.
Situasi ini juga turut mencerminkan kemerosotan nilai moral dalam kalangan pelajar, sekali gus menjejaskan suasana pembelajaran yang sepatutnya berteraskan disiplin dan saling menghormati.
Lebih mengeruhkan lagi keadaan apabila terdapat segelintir pihak yang menuding jari kepada guru atas masalah disiplin pelajar. Sesetengah ibu bapa pula dilihat terlalu bergantung kepada pihak sekolah, seolah-olah tugas mendidik anak-anak terletak sepenuhnya di bahu guru.
Sikap sebegini bukan sahaja tidak adil kepada warga pendidik, malah menunjukkan kurangnya kesedaran bahawa pembentukan akhlak dan disiplin anak-anak sebenarnya bermula dari rumah. Hakikatnya, tanggungjawab mendidik anak-anak bermula di rumah, dan peranan ini perlu digalas terlebih dahulu oleh ibu bapa.
Peranan ibu bapa tidak seharusnya terbatas kepada penyediaan keperluan asas semata-mata, sebaliknya menuntut kasih sayang, perhatian dan masa bersama anak-anak.
Ramai ibu bapa kini terlalu sibuk mencari rezeki sehingga mengabaikan aspek emosi dan sosial anak.
Oleh itu, kerjasama erat antara ibu bapa dan guru diperlukan bagi memastikan anak-anak mendapat didikan yang seimbang dari segi akademik dan nilai moral.
Guru memainkan peranan penting sebagai pembimbing dan teladan kepada pelajar di sekolah, namun usaha mereka tidak akan mencapai keberkesanan sepenuhnya tanpa sokongan daripada ibu bapa.
Hubungan kerjasama yang erat antara guru dan keluarga amat penting kerana terbukti dapat membantu membentuk disiplin, rasa tanggungjawab serta sahsiah anak-anak.
Jika ibu bapa bersikap lepas tangan dan menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik kepada sekolah, segala usaha guru akan menjadi sia-sia dalam membentuk generasi yang berakhlak dan berdisiplin.
Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Pendidikan harus meneliti semula dasar atau perkeliling yang dilaksanakan kerana ia seakan terlalu memihak kepada pelajar.
Dengan memberi keseimbangan antara hak pelajar dan kuasa guru ia dapat memberi ruang kepada guru untuk bertindak tegas tetapi adil dalam memberikan hukuman.
Orang ramai turut mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia supaya menilai semula pelaksanaan hukuman rotan di sekolah. Hal ini kerana kebanyakan guru tidak sewenang-wenangnya merotan atau memarahi pelajar tanpa sebab yang munasabah, sebaliknya tindakan tersebut diambil dengan niat untuk mendidik, membentuk disiplin dan memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan murid.
Menurut Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Subri Yusuf, tindakan disiplin yang diambil oleh guru, termasuk hukuman rotan, adalah semata-mata bertujuan untuk mendidik serta membentuk sahsiah pelajar.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut tidak bermaksud untuk mendera atau menyakiti, sebaliknya sebagai usaha membimbing pelajar ke arah menjadi insan yang berdisiplin dan berakhlak baik. Oleh itu, langkah untuk mengembalikan autoriti dan kuasa mendidik kepada guru perlu dilaksanakan segera.
Langkah ini bukan bermaksud memberi kuasa mutlak, tetapi sebagai pengiktirafan terhadap peranan guru sebagai penjaga disiplin yang sah di sekolah. Pada masa yang sama, ia dapat memastikan tindakan guru dan pelajar sentiasa berada dalam kawalan yang wajar serta selaras dengan prinsip pendidikan beretika.
Ramai tidak sedar bahawa kehilangan autoriti guru juga membawa kesan besar kepada ekonomi negara. Apabila pelajar tidak lagi menghormati peraturan, mereka membesar sebagai generasi pekerja yang kurang disiplin, lemah daya tahan, dan sukar mematuhi piawaian kerja.
Ini mengakibatkan kadar produktiviti menurun dan meningkatkan kadar pengangguran belia. Guru yang terpaksa menumpukan banyak masa untuk menangani isu disiplin kehilangan peluang menumpu kepada pengajaran berkesan dan inovatif.
Akibatnya, pelaburan besar kerajaan dalam sektor pendidikan tidak menghasilkan pulangan yang setimpal dari segi kualiti pembelajaran dan pembangunan modal insan.
Sedangkan, pelaburan dalam pendidikan seharusnya mampu melahirkan tenaga kerja berpengetahuan serta berkemahiran tinggi yang dapat mengurangkan kadar pengangguran dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.
Apabila disiplin pelajar semakin longgar dan guru terus dibelenggu oleh birokrasi, sekolah perlahan-lahan hilang fungsinya sebagai institusi pembentukan akhlak dan nilai murni.
Kita tidak seharusnya membiarkan para pendidik menjadi mangsa kepada sistem yang mereka pertahankan demi masa depan anak-anak bangsa. Guru tidak menuntut kuasa mutlak, sebaliknya hanya memohon ruang untuk mendidik dengan tegas namun penuh kasih sayang.
Oleh itu, kepercayaan terhadap guru perlu segera dipulihkan agar mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas, sementara generasi muda membesar sebagai insan yang berdisiplin, berakhlak dan bertanggungjawab.
Secara keseluruhannya, usaha berterusan untuk memperkukuh motivasi, disiplin dan autoriti guru, disertai sokongan padu daripada institusi serta masyarakat, merupakan faktor utama dalam memastikan sistem pendidikan yang berkualiti dan seterusnya memacu kemajuan ekonomi negara.
Maklumat penulis:
1. Mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Amin Mustafa Mat Seri
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli