Seramai 300 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Sabak Bernam, Selangor mengikuti program Motivasi Pemantapan Hafazan di maahad itu, Rabu lalu.
Program usahasama antara Panitia Tahfiz MITS Sabak Bernam dengan Nasyrah Consultant, Furqanworks Sdn Bhd dan Kumpulan Sokongan Ibubapa (PSG) bertujuan meningkatkan semangat dan kecenderungan para pelajar dalam mengulang dan mengingati bacaan hafazan al-Quran masing-masing.
Selain itu, ia juga berobjektif mengajar peserta menggunakan teknik yang betul mengulang bacaan al-Quran agar terus kekal diingati.
Menurut Penolong Kanan MITS Sabak Bernam, Ustaz Mohd Syuaib Abu, Motivasi Pemantapan Hafazan memberi peluang kepada peserta mendengar dan mempelajari ilmu berkaitan kaedah mengulang dengan betul daripada Ikon Huffaz, Ustazah Syaurah Ishak.
"Saya berharap pelajar dapat menghayati dengan penuh semangat semua teknik yang dikongsi supaya ayat-ayat al-Quran sedang dihafal mudah diingati dan kekal,” katanya kepada Sinar Bestari.
Wakil PSG yang juga Pensyarah Kanan (Fisiologi), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Selangor, Razif Dasiman pula menyifatkan, program motivasi tersebut sebagai hadiah istimewa kepada anak-anak tahfiz MITS Sabak Bernam dalam meningkatkan semangat dan memelihara kesihatan emosi, mental serta jati diri setelah mengharungi minggu peperiksaan akhir tahun.
Doanya agar anak-anak tahfiz dapat memanfaatkan dan menjadikan motivasi itu sebagai medan mempelajari teknik khas dan berinteraksi dengan Ikon Huffaz secara bersemuka.
Sementara itu, sebanyak 80 naskhah al-Quran diagihkan kepada pelajar MITS Sabak Bernam hasil infaq penyumbang yang digerakkan melalui Program Infaq Ahlullah oleh Furqanworks Sdn Bhd.
Terdahulu, Motivasi Pemantapan Hafazan yang diadakan setengah hari menyajikan slot perkongsian oleh Ustazah Syaurah yang menyampaikan motivasi bertajuk 12 Kaedah Mengulang Efektif Agar Hafalan Kuat Diingati.
Dalam perkongsian itu, beliau turut menyelitkan aktiviti berkumpulan, sesi tebuk surah dan sesi praktikal kaedah mengulang.
Motivasi Pemantapan Hafazan disifatkan inisiatif terbaik dalam memperkasa institusi tahfiz ke arah melahirkan profesional huffaz dengan melibatkan kerjasama pelbagai pihak dan agensi, selaras prinsip Sustainable Development Goals (SDGs) dalam mengintegrasikan SDG iaitu SDG 4: Pendidikan berkualiti, SDG 16: Kemampanan Institusi dan SDG 17: Kerjasama untuk mencapai matlamat bersama.
Diharapkan program seperti ini diteruskan pada masa akan datang agar dapat melahirkan legasi huffaz profesional yang mempunyai semangat tinggi, jati diri dan contoh terbaik kepada generasi muda.