Sepanjang minggu ini, pelbagai perkara berlaku di Malaysia membabitkan sektor pendidikan dan pemerintahan beraja.
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bertulis sudah bermula yang menyaksikan pelbagai ragam ibu bapa mahu pun guru dalam membantu meningkatkan prestasi calon-calon.
Kemudian, rakyat Malaysia dihidangkan pula dengan pemerintahan ketua kerajaan baharu iaitu pelantikan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Sinar Bestari percaya, kesemua rakyat Malaysia pastinya tidak sabar untuk berada di bawah payung kepimpinan Sultan Ibrahim yang cukup terkenal dengan sifat pemurah ini.
Warga pendidik juga tidak mahu terlepas untuk memberi penghargaan di atas pelantikan ketua utama kerajaan Malaysia ini.
1)"Daulat Tuanku. Sebagai rakyat Malaysia yang juga pendidik, saya dengan segala hormat dan takzimnya ingin merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Saya mendoakan agar negara Malaysia terus makmur dan maju di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda.
"Sebagai warga yang berkhidmat di negeri Johor, saya rasa amat bertuah sebagai rakyat di bawah naungan Seri Paduka Baginda sepanjang menjadi Sultan Johor yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat serta kerap mencemar duli bertemu terus dengan rakyat.
"Semoga di bawah naungan Sultan Ibrahim, pendidikan akan menjadi agenda utama Seri Paduka Baginda dalam melahirkan rakyat yang lebih berdaya saing."
- Guru Pemulihan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, Mersing, Johor, Roslee Abdul @ Mohd
2)"Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berbesar hati dan sangat teruja atas pelantikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Dari sudut pandang warga pendidik, semoga kecemerlangan pendidikan dapat dilihat dalam skop lebih luas dengan cabaran generasi anak didik masa kini.
"Bukan setakat mengikuti arus teknologi pendidikan, malah merangkumi skop psikologi di mana generasi kini perlu sihat minda sejahtera persekitaran. Besarlah harapan saya semoga warga pendidik terbela, anak murid sejahtera. Daulat Tuanku!
- Guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana Mahkota, Perak, Annetta Zaity Zainal
3)"Dengan segala hormatnya, saya ucapkan setinggi tahniah kepada Sultan Ibrahim di atas pemasyhuran Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Tahniah juga kepada Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah. Seluruh warga sekolah ChaPriS mendoakan akan Malaysia terus makmur di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda berdua."
- Guru Perpustakaan dan Media, SK Kampung Chabang (ChaPriS), Kerteh, Terengganu, Sharidah Shahrom
4)"Saya sebagai rakyat jati Johor berasa amat bangga dengan perlantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Seri Paduka Baginda merupakan sultan yang mesra dan prihatin dengan keperluan rakyat."
- Guru SK Duyong, Perkampungan Hang Tuah, Melaka, Zaini Ibrahim