Kembalikan wang BAP yang dipotong

Iklan
Fadhlina beramah mesra dengan pelajar selepas selesai penyerahan cek BAP 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua Kajang pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

Sekolah yang membuat pemotongan terhadap Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diarah memulangkan semula wang tersebut kepada murid terlibat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, wang BAP itu sepatutnya diberi mengikut jumlah yang telah ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM150 bagi setiap murid.

"BAP mestilah diberi mengikut jumlah yang sepatutnya dan sampai ke tangan ibu bapa.

"Sekiranya ada pemotongan, ia mesti dikembalikan," katanya selepas merasmikan Sambutan Tahun Baru Cina dan penyerahan cek cura BAP 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yu Hua, Kajang, Selangor pada Jumaat.

Tambahnya lagi, sekiranya masih terdapat sekolah yang memotong pemberian wang BAP, ibu bapa dinasihatkan untuk membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam pada itu, Fadhlina telah menyerahkan lebih RM1.2 juta peruntukan BAP kepada 933 sekolah di Selangor yang membabitkan jumlah 848,744 murid.

Sebanyak RM788.13 juta diperuntukan dalam Belanjawan 2024 khusus untuk BAP.

Bantuan secara sekali bayar itu akan memberi manfaat kepada 5,254,200 murid di seluruh negara.