Hari Bakat medan asah bakat murid

Iklan
Hari Bakat tonjol kebolehan murid dalam bidang tertentu. Gambar kecil: Cikgu Mohamad Fadzil.

Potensi atau bakat yang ada pada murid perlu dicungkil supaya kita dapat melihat kecenderungan mereka ke arah mana.

Menurut guru Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor, Cikgu Mohamad Fadzil Edris, tujuan diasah bakat murid adalah untuk melahirkan generasi yang cemerlang dalam bidang tertentu sekali gus berdaya saing mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Iklan
Iklan

"Misalnya penganjuran Hari Bakat baru-baru ini, yang dilihat menjadi medan mengasah bakat mereka terutama pengucapan awam dan persembahan pentas.

"Acara tahunan ini adalah peluang terbaik menonjolkan kebolehan di hadapan penonton di samping meningkatkan kemahiran berbahasa murid-murid,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Iklan

Cikgu Mohamad Fadzil yang menggalas tanggungjawab sebagai pengarah program berkata, Hari Bakat dapat membentuk murid memiliki keyakinan diri, kreatif dan inovatif bagi mendepani cabaran era digital dan teknologi kelak.

Sementara itu, guru besar, Cikgu Rohaida Ridzwan melahirkan rasa gembira kerana Hari Bakat berjaya mencungkil bakat terpendam para murid.

Iklan

"Acara ini akan diteruskan lagi dengan lebih banyak bakat-bakat baharu akan ditonjolkan. Syabas kepada semua yang terlibat,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang peserta, Wafia Insyirah Mohamad Fadzil yang muncul naib johan pertandingan reka cipta berkata, Hari Bakat dapat membina keyakinan dan menjana kreativiti dalam pertandingan disertai.

Wafia Insyirah, 7, tekun menyiapkan model tong sampah berasaskan kotak.

Manakala johan pengucapan awam kategori Bahasa Melayu, Ahmad Rais Norhisham Izwan memberitahu, Hari Bakat telah memberi peluang untuk dia menonjolkan kemampuan dalam pengucapan awam.

Ahmad Rais, 12, menyampaikan syarahan dengan penuh yakin dan bergaya.

Sebelum itu, Hari Bakat Sekolah Rendah Islam Hidayah menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan pengucapan awam merangkumi tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Ia turut menyajikan pertandingan mewarna, melukis komik, rekacipta dan persembahan bakat lain

Hari Bakat yang mendapat kerjasama Unit Pengucapan Awam dan Bakat Murid serta Jawatankuasa Kurikulum Sekolah membawakan tema Shine With Modesty bermaksud bersinar dengan kesederhanaan.