Peranan seorang belia sangat penting dalam pembangunan negara dan mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik.
Pendidikan adalah kunci bagi menuju kejayaan untuk melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan bernilai dalam membangunkan negara.
Keupayaan pembelajaran golongan belia diperkasakan sebaik mungkin supaya mereka dapat didedahkan dengan pelbagai kemungkinan pemangkin kejayaan masa depan individu atau negara.
Sebagai contohnya, orang yang rapat di sekeliling golongan belia seperti ibu bapa dan guru-guru wajarlah menyokong mereka dalam mempelajari dalam bidang akademik yang mereka minati.
Dengan ini, ibu bapa juga perlulah merasionalkan pengajaran sekolah dengan berkongsi realiti yang berlaku hari ini kepada anak mereka.
Oleh itu, golongan belia yang memahami apa yang berlaku dan melihat realiti kehidupan hari ini pastinya dapat mendedahkan sesuatu yang lebih berguna kepada diri, keluarga dan masyarakat.
Peranan belia dalam pembangunan negara
Menurut kenyataan Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pada tahun 2012, jumlah populasi manusia mencecah 7 billion dan hampir 50.5 peratus merupakan manusia yang berumur 30 tahun dan ke bawah.
Statistik ini menunjukkan golongan belia seharusnya diberi ruang dan peluang dalam membangunkan dan memajukan negara.
Mereka yang bakal menggantikan golongan pemimpin di setiap peringkat sama ada keluarga, masyarakat, organisasi mahupun negara seharusnya dibentuk dengan elemen kepimpinan yang terbaik.
Namun begitu, golongan remaja masa kini hanya sebahagian yang celik untuk menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan negara manakala sebahagian lagi leka dibuai keseronokan atau dibelenggu kemelut sosial.
Satu anjakan paradigma harus dilaksanakan supaya yang patah tumbuh, yang hilang akan berganti. Justeru, wajar untuk kita bincangkan peranan penting belia dalam membangunkan dan memajukan negara untuk kemaslahatan bersama.
Kuasai ilmu pengetahuan
Peranan utama yang harus digarap oleh golongan belia adalah menguasai ilmu pengetahuan.
Pendidikan merupakan kunci kejayaan terhadap sesuatu perkara. Pemerkasaan pembelajaran bagi golongan belia wajar dimaksimakan sebaik mungkin supaya mereka didedahkan dengan pelbagai kemungkinan yang mampu menjadi pemangkin kejayaan diri atau negara pada masa akan datang.
Dengan kemudahan teknologi hari ini, tiada alasan yang menjadi penghalang kepada golongan belia untuk mendapatkan sebarang ilmu dan pengetahuan.
Orang-orang di sekeliling golongan belia seperti ibu, bapa dan guru wajar memberikan sokongan untuk mereka mempelajari bidang pendidikan yang mereka minati serta pendedahan terhadap pengetahuan am yang penting.
Misalnya di sekolah guru-guru mengajar subjek sejarah kepada pelajar untuk bersikap patriotik kepada negara dan di rumah, ibu dan bapa merasionalkan pengajaran di sekolah dengan berkongsi realiti yang berlaku pada hari ini.
Hasilnya, golongan belia yang mempunyai ilmu tentang perkara yang telah berlaku dan melihat realiti kehidupan masa kini, mereka pasti dapat menzahirkan sesuatu yang lebih berguna kepada diri sendiri, keluarga mahupun masyarakat.
Tambahan pula, tahap inteligensia masyarakat akan menjadi titik tolak terhadap imej negara di pandangan masyarakat dunia.
Tegasnya, mempelajari dan menguasai ilmu pengetahuan oleh golongan belia dapat membantu negara kerana laut yang ditimba tak akan kering.
Etika atau personaliti luhur
Selain itu, remaja juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur.
Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul.
Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela.
Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial.
Dengan kata lain, remaja berkepemimpinan harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
Kemahiran diri
Di samping menguasai ilmu secara teori, golongan belia juga seharusnya mempelbagaikan kemahiran diri.
Sebagai contoh, kemahiran memasak dan menjaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling kita.
Kemahiran asas tersebut wajar dimiliki oleh golongan belia kerana ia merupakan fitrah sebagai seorang manusia di muka bumi ini untuk makan dan menjaga kebersihan.
Selain itu, dari sudut pekerjaan mereka yang mempunyai ketrampilan yang menarik akan lebih menyerlah berbanding mereka yang mempunyai pencapaian akademik tetapi tiada kemahiran interpersonal.
Oleh itu, golongan belia perlu sentiasa belajar untuk memperbaiki diri dari hari ke hari.
Bak kata pepatah Melayu, belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam.
Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, semangat tidak berputus asa dan konsisten dalam mempelajari sesuatu yang baharu hendaklah diamalkan oleh golongan belia.
Sekiranya berlaku kejutan ekonomi seperti pandameik Covid-19 baru-baru ini, kemahiran-kemahiran diluar bidang pekerjaanlah yang akan digunakan untuk menampung diri dan keluarga.
Golongan belia hari ini perlu menyiapkan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran dan ketidak tentuan pada masa hadapan.
Usahasama pihak berkuasa dalam membentuk ekonomi dan masyarakat yang seimbang untuk semua golongan termasuk belia adalah mustahak supaya inisiatif golongan belia untuk membawa kemajuan kepada negara tidak dihalang atau dibantah mentah-mentah.
Dalam mengecapi wawasan masyarakat minda kelas pertama, golongan muda hendaklah memelihara kesihatan dari segala aspek sama ada fizikal, mental dan juga kerohanian.
Dari segi fizikal, Malaysia pernah dikategorikan sebagai antara negara yang mempunyai kes obesiti tertinggi di rantau Asia Tenggara.
Oleh itu, data yang memalukan ini perlu diubah dan golongan belia mampu menjadi pemangkin kepada perubahan imej masyarakat negara yang lebih baik.
Mengamalkan pemakanan yang seimbang bukanlah sesuatu yang sukar kerana bahan mentah seperti sayuran dan sumber protein adalah berpatutan untuk dibeli.
Tambahan pula, infrastruktur sukan yang bertambah lengkap dari tahun ke tahun seharusnya
dimanfaatkan oleh masyarakat serta dipermudahkan penggunaannya untuk orang awam.
Aktiviti riadah
Golongan belia sepatutnya menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti riadah seperti bersukan dan bersenam dimana ia boleh menjadi medan utama untuk bersosial dan bukan di kelab-kelab hiburan pada waktu lewat malam. Bahkan, sukan merupakan ejen penyatuan masyarakat yang sangat mudah serta penting untuk perpaduan bangsa.
Izharnya, remaja yang sihat secara fizikal dan juga mental dapat membentuk jati diri yang mapan kerana badan yang sihat, menjana otak yang cergas.
Peranan lain yang boleh diketengahkan terhadap golongan belia demi pembangunan dan kemajuan negara adalah dengan bersifat terbuka. Sifat yang dimaksudkan adalah terbuka menerima teguran dan pandangan orang lain.
Seperti yang diamalkan oleh nenek dan moyang kita, sifat keterbukaan dalam menjalankan kehidupan bersama bangsa mahupun agama yang berlainan tidak merugikan malah memberi keuntungan antara satu sama lain.
Hasilnya, kita dapat menikmati hidangan asli bangsa yang berlainan tetapi citarasa tempatan dan hidup secara muhibbah.
Begitu juga dengan pembinaan negara dan bangsa pada hari ini, retorik perkauman haruslah dirai bukannya dimusuhi dan menjadi bahan politik semata-mata.
Kita tidak mahu menjadi masyarakat yang ketinggalan daripada kemajuan yang dicapai oleh negara asing.
Ini merupakan antara sebab sekolah kebangsaan dilaksanakan sejak peringkat rendah supaya ahli masyarakat dapat bersatu padu dan bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama mempelajri erti toleransi dan hormat-menghormati.
Pepatah ada berkata, rambut sama hitam tetapi hati masing-masing lain.
Perumpamaan ini menunjukkan hati kita mungkin berlainan tetapi jika dipupuk dengan sifat kecintaan, pasti kita dapat menjadi manusia yang manusiawi.
Sebaliknya, peranan golongan belia juga amat bermanfaat dalam pembangunan politik negara.
Golongan belia yang berkepemimpinan haruslah berbudi bahasa, bersahsiah mulia dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang mempunyai imej baik dan juga dihormati oleh negara-negara luar kerana golongan belia yang berpersonaliti baik akan menjadi negara kita yang dihormati oleh negara asing.
Peranan belia sebagai pemimpin dan agen perubahan pada masa ini, jadilah persepsi belia terhadap politik adalah penting.
Kesedaran belia terhadap politik semakin meningkat dan mereka mampu menyuarakan pendapat mereka semasa pilihan raya umum.
Seperti yang dinyatakan oleh Persidangan Kepimpinan Belia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,"penglibatan golongan belia dalam proses membuat keputusan tentang masa depan komuniti, wilayah dan komuniti global mereka" adalah salah satu langkah ke arah membentuk golongan belia sebagai pemimpin dan agen perubahan.
Aktiviti berasaskan komuniti ini dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk mencari identiti, membina keyakinan diri, kemahiran emosi, rangkaian rakan, kemahiran kepimpinan dan kolaborasi.
Intihanya, semua remaja mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial.
Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara.
Aspirasi negara
Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti.
Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.
Mulai hari ini, golongan belia perlu berazam untuk melaksakan peranan seperti yang dibincangkan di atas demi kemakmuran negara yang progesif.
Bak kata Mantan Presiden Indonesia, ‘Beri aku 1.000 orang tua, nescaya akan kucabut semeru dari akarnya. Beri aku 10 pemuda nescaya akan kuguncangkan dunia.’
Maklumat Penulis
Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Raja Faris Azril Raja Ahmad
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my