Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang berpotensi untuk dikembangkan kerana dapat menyumbang kepada ekonomi negara.
Dengan anugerah kedudukan geografi berdekatan dengan titik khatulistiwa tanah yang subur dan cuaca yang stabil, Malaysia sangat sesuai untuk mengembangkan sektor pertanian dari segi tanaman dan ternakan di tambah lagi lokasi stategik yang memudahkan urusan eksport dan import dengan negara-negara luar.
Sektor pertanian ini juga sangat penting untuk tujuan domestik terutama sebagai sumber makanan.
Sektor pertanian di Malaysia telah banyak menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Sejak dari zaman dulu lagi, Malaysia adalah salah satu negara pengeksport hasil pertanian seperti kelapa sawit, getah, koko, kayu-kaya dan buah-buahan.
Menurut Malaysian Palm Oil Board (MPOB), jumlah hasil eksport yang di catat minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain pada tahun 2022 berjumlah 24.72 juta tan dan lebih tinggi daripada 2021 iaitu sebanyak 24.28 juta tan.
Pada 2022, pendapatan eksport minyak sawit sahaja melonjak dengan ketara sebanyak 27.7 peratus kepada RM82.49 bilion berbanding RM64.61 bilion (2021).
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyatakan tahun ini, Malaysia mencatat nilai eksport minyak sawit berjumlah RM40.51 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023 dengan kuantiti eksport sebanyak 9.66 juta tan.
Ini menunjukkan negara kita merupakan salah satu negara pengeksport produk kelapa sawit hasil yang penting.
Permintaan tinggi minyak kelapa sawit dari negara luar seperti negara India, China, Kesatuan Eropah, Turkiye, Kenya, Jepun, Pakistan, Korea Selatan, Filipina dan Arab Saudi.
Industri koko berpotensi menyumbang kepada keuntungan negara hasil daripada eksport koko.
Sektor koko secara khususnya telah menyumbang sebanyak RM5.55 bilion kepada pendapatan eksport negara pada 2018 dan menyumbang sebanyak RM1.44 bilion atau 0.1 peratus kepada KDNK data dari Kementerian Industri Utama.
Salah satu syarikat koko terbesar di Malaysia merupakan syarikat pengisar koko terbesar negara dan keempat terbesar dunia iaitu dengan kapasiti 250,000 tan setahun iaitu syarikat Guan Chong Cocoa Manufacturer Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor.
Ia juga menjadi pembekal kepada syarikat pengeluar coklat dan minuman yang terkemuka di dunia seperti Nestle, Mars, Hershey's dan Cadbury.
Oleh itu, pihak kerajaan dan juga swasta mengambil inisiatif untuk mempertahankan industri koko di Malaysia kerana ia memberi banyak faedah kepada negara.
Buah-buahan juga berpotensi untuk di eksport ke luar negara kerana Malaysia kaya dengan tanah subur dan cuaca sesuai untuk tanaman buah-buahan tropika.
Permintaan buah-buahan tropika seperti durian, nenas, nangka, betik, tembikai, pisang, manggis dan rambutan dari negara luar memberikan potensi kepada negara untuk memajukan industri buah-buahan tropika di Malaysia.
Selain daripada itu juga, sayur-sayuran hasil dari ladang juga dapat di eksport ke negara luar.
Sumbang pendapatan negara
Sektor pertanian ini penting dalam menyumbangkan kepada pendapatan negara kerana potensi daripada keuntungan eksport hasil pertanian seperti kelapa sawit, getah dan buah-buahan memberikan keuntungan kepada negara.
Selain daripada eksport, sektor pertanian di Malaysia juga penting sebagai pembekal sumber makanan utama ke seluruh negara.
Malaysia mengeluarkan 70 peratus keperluan makanan ruji negara iaitu pengeluaran padi dan beras selebihnya di import dari negara luar seperti India yang merupakan pembekal beras terbesar dunia.
Walaupun pengeluaran padi dan beras negara adalah 70 peratus, isu kekurangan bekalan beras tempatan tetap berlaku.
Beberapa bulan lalu, terdapat isu kekurangan beras bekalan beras tempatan di kedai-kedai runcit dan pasaraya di seluruh negara.
Permintaan beras tempatan yang tinggi tetapi tidak semua penduduk dapat membelinya kerana bekalan beras tempatan yang tidak mencukupi dan terpaksa membeli beras import yang harganya lebih mahal.
Perkara ini akan memberi impak kepada penduduk berpendapatan rendah kerana kos sara hidup mereka akan meningkat.
Selain daripada beras dan padi, Malaysia juga mengimport pelbagai lagi produk bahan makanan mentah seperti daging ayam, daging lembu, daging kambing, daging kerbau, produk tenusu dan sebagainya.
Sayur-sayuran seperti bawang merah, bawang putih, brokoli, cendawan dan sebagainya banyak dimport dari negara- negara luar.
Jelas Malaysia masih bergantung kepada makanan import menyebabkan tanpa makanan import ini, makanan untuk seluruh isi rumah negara tidak mencukupi.
Kita dapat lihat pihak kerajaan banyak berbelanja setiap tahun untuk mengimport makanan dari negara luar.
Sebagai contoh, Perdana Menteri ke-10 dalam akhbar pada 25 Ogos 2023 berkata, negara mengimport produk makanan termasuk benih tumbuhan dengan nilai amat besar dan menelan kos hampir RM70 bilion setahun.
Di tambah lagi berlaku konflik peperangan antara beberapa negara, masalah perubahan cuaca extrem, kejatuhan nilai mata wang menyebabkan harga makanan mahal dan negara luar menghadkan import atau naikkan cukai bagi mengimport hasil pertanian mereka.
Sebagai contoh, India telah menaikkan cukai bagi import bawang merah dan bawang putih sebanyak 40 peratus dan menghentikan import beras menyebabkan penduduk Malaysia menghadapi kos sara hidup tinggi dan kekurangan bekalan makanan ruji iaitu padi dan beras.
Oleh itu, pertanian penting sebagai pembekal makanan utama negara di tambah lagi berpotensi dikembangkan dengan cuaca dan tanah sangat sesuai.
Inisiatif perlu diambil
Langkah- langkah inisiatif perlu diambil untuk meningkatkan sektor pertanian negara dengan menjadikan Malaysia 100 peratus mampu sara diri dengan hasil pertanian tanpa bergantung kepada import makanan dari luar negara.
Dengan ini, Malaysia tidak perlu berbelanja dengan kos yang tinggi untuk mendapatkan makanan import bagi memenuhi keperluan isi rumah, malah mereka juga tidak akan menghadapi tekanan kos harga makanan yang tinggi kerana hasil tempatan lebih murah berbanding produk makanan import.
Sektor pertanian juga berpotensi dalam meningkatkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Semestinya, sektor pertanian memerlukan kemahiran dan tenaga kerja dalam mengurus pertanian.
Kemahiran di perlukan dalam pertanian kerana kita berada dalam zaman moden menyebabkan penggunaan teknologi canggih adalah biasa dan pekerja perlu mempunyai kemahiran dalam mengurusnya.
Penggunaan teknologi seperti GPS, sensor, dron, kecerdasan buatan (AI) dan robotik adalah langkah untuk membantu dalam memudahkan kerja pertanian seperti mengesan masalah penyakit pada tanaman, kelembapan tanah, menyiram, membaja dan meracun serangga perosak tanaman dengan mudah dan ia bergantung pada jenis teknologi masing- masing.
Kilang memproses hasil pertanian juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk.
Semakin banyak sektor pertanian di bangunkan, semakin banyak peluang pekerjaan dan masalah pengangguran dapat dikurangkan serta pembangunan negara akan meningkat.
Dengan kelebihan yang dianugerahkan, adakah Malaysia tidak mahu mengambil peluang untuk mengembangkan sektor pertanian ini?
Banyak lagi potensi yang mampu dicapai dalam sektor pertanian untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara ini.
Inovasi dan teknologi dalam sektor pertanian perlu dikembangkan dengan kerjasama pihak kerajaan dan pihak swasta.
Sektor pertanian bukan sahaja dapat membantu penduduk dalam negara malah dapat meningkatkan lagi ekonomi.
Maklumat Penulis
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Adam Syahmi Zainuddin
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my