Apabila yang tidak layak dinaikkan, yang berkualiti akan pergi

Iklan
Gambar hiasan

Dalam dunia pekerjaan hari ini, tidak semua yang rajin dan berintegriti akan naik pangkat. Ada kalanya, yang “petah berkata-kata” dan pandai mengambil hati lebih cepat mendaki tangga organisasi berbanding mereka yang benar-benar bekerja keras. Fenomena ini bukan perkara baharu, ia adalah realiti yang semakin menjejaskan moral dan budaya kerja di banyak tempat.

Ungkapan ini mungkin kedengaran sinis, tetapi ia menggambarkan satu realiti pahit yang masih wujud apabila individu yang tidak layak dinaikkan pangkat, manakala yang benar-benar berprestasi dan berintegriti terus diketepikan.

Iklan
Iklan

Fenomena ini bukan perkara baharu. Ia terjadi di banyak tempat, sama ada di pejabat kecil di daerah atau di ibu pejabat besar di Putrajaya. Namun kesannya tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sekadar soal siapa yang naik pangkat, tetapi soal moral, motivasi dan masa depan sesebuah organisasi.

Kenaikan pangkat bukan hadiah, tapi amanah

Iklan

Dalam perkhidmatan awam, kenaikan pangkat sepatutnya menjadi pengiktirafan kepada kerja keras, kompetensi dan integriti seseorang penjawat awam. Ia juga satu bentuk dorongan untuk terus menyumbang kepada perkhidmatan terbaik buat rakyat.

Namun apabila proses kenaikan pangkat tidak berdasarkan prestasi sebenar, sebaliknya dipengaruhi oleh faktor “siapa kenal siapa” atau “siapa pandai jaga hati bos”, sistem itu mula pincang. Mereka yang bekerja dengan ikhlas akan hilang semangat kerana berasa usaha mereka tidak dihargai.

Iklan

Apabila hal ini berterusan, kita sebenarnya sedang membina budaya kerja yang berbahaya, budaya yang meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan organisasi dan rakyat.

Kesan terhadap semangat dan produktiviti

Kajian dalam bidang sumber manusia menunjukkan bahawa rasa tidak adil di tempat kerja boleh menjejaskan motivasi dan produktiviti pekerja. Mereka mungkin masih datang bekerja setiap hari, tetapi jiwa dan semangatnya sudah hilang.

Lebih membimbangkan, pegawai yang berbakat dan berdedikasi mula memilih untuk keluar. Mereka mencari tempat lain yang lebih menghargai kemampuan dan usaha mereka. Dalam konteks sektor awam, kehilangan pegawai berpotensi tinggi ini adalah satu kerugian besar, bukan mudah melahirkan penjawat awam yang berpengalaman, berintegriti dan setia pada organisasi.

Apabila yang berbakat pergi, yang tinggal mungkin hanya mereka yang selesa berada dalam zon selamat. Akibatnya, keputusan-keputusan penting dibuat tanpa kebijaksanaan, budaya “asal siap” mula berleluasa dan prestasi organisasi semakin menurun.

Peranan pemimpin menegakkan keadilan

Isu ini tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada sistem atau prosedur semata-mata. Ia memerlukan kepimpinan yang berani dan berprinsip. Pemimpin yang adil tidak akan menaikkan seseorang hanya kerana dia pandai mengambil hati, tetapi kerana dia layak berdasarkan prestasi dan integriti.

Dalam agensi kerajaan, ketua jabatan berperanan besar dalam memastikan proses penilaian kenaikan pangkat dilakukan dengan telus dan saksama. Penilaian mesti berpaksikan kepada bukti kerja, sumbangan sebenar, dan potensi kepimpinan, bukan kepada populariti atau hubungan peribadi.

Pemimpin yang adil bukan sahaja memberi ganjaran kepada yang cemerlang, tetapi juga menjadi contoh kepada yang lain bahawa kejujuran dan usaha keras masih dihargai dalam sistem perkhidmatan awam.

Membina budaya merit dan integriti

Sistem penilaian prestasi dalam sektor awam perlu terus diperbaiki agar lebih objektif dan mesra pembangunan bakat. Misalnya, penggunaan kaedah maklum balas 360 darjah, rekod kompetensi sebenar dan laporan hasil kerja boleh membantu menilai pegawai secara lebih menyeluruh.

Selain itu, budaya kerja juga perlu berubah. Ketua tidak seharusnya hanya menjadi penyelia yang menilai prestasi tahunan, tetapi mentor yang membimbing pegawai bawahannya. Sesi dialog pembangunan kerjaya boleh membantu pegawai memahami potensi diri dan arah tuju mereka dalam organisasi.

Jika pegawai berasa dihargai dan dipandu dengan betul, mereka tidak akan mudah hilang semangat atau mencari peluang di tempat lain.

Keadilan itu asas keutuhan organisasi

Dalam dunia kerja, keadilan bukan sekadar slogan. Ia adalah asas kepada keutuhan sesebuah organisasi. Apabila keadilan dipelihara, kepercayaan akan terbina. Pegawai akan bekerja dengan penuh semangat kerana mereka yakin setiap usaha akan dihargai.

Sebaliknya, apabila keadilan diketepikan, sistem mula longgar. Pegawai mula berasa tidak penting. Mereka mungkin diam, tetapi perlahan-lahan akan menjauh, sama ada secara fizikal atau emosi dan ketika itulah, organisasi mula kehilangan yang terbaik tanpa disedari.

Dalam pengurusan sumber manusia, terutama di sektor awam, setiap keputusan tentang kenaikan pangkat bukan sekadar soal pentadbiran. Ia adalah cerminan nilai dan integriti sesebuah institusi.

Apabila yang tidak layak dinaikkan, ia menghantar mesej bahawa usaha, amanah dan integriti tidak penting. Sebaliknya, apabila yang layak dihargai, ia membina budaya kerja yang positif, kompetitif dan berwibawa.

Kita sering bercakap tentang transformasi perkhidmatan awam, digitalisasi dan inovasi. Namun semua itu tidak akan bermakna jika nilai asas keadilan diabaikan. Keadilan bukan sekadar memberi apa yang orang mahu, tetapi memberi kepada yang benar-benar layak dan apabila yang layak diberi peluang, bukan sahaja organisasi akan lebih kuat tetapi semangat untuk berkhidmat kepada rakyat juga akan kembali menyala.

Kerana hakikatnya, apabila yang tidak layak dinaikkan, yang berkualiti akan pergi dan apabila yang terbaik pergi, organisasi akan kehilangan jiwa yang sebenar.

Pepatah ada mengatakan, 'A great leader creates more leaders, not followers'. Kepimpinan yang adil dan berprinsip harus menjadi teras dalam mana-mana organisasi.

Pemimpin yang baik tidak hanya menilai berdasarkan 'siapa yang dekat' tetapi 'siapa yang layakl. Keadilan dalam membuat keputusan kenaikan pangkat bukan sekadar soal ganjaran, tetapi juga mesej moral kepada semua warga kerja bahawa usaha dan integriti tidak sia-sia.

Jika organisasi ingin maju dan kekal kukuh, mereka mesti memelihara bakat terbaik bukan menyingkirkan mereka secara halus kerana ketidakadilan. Kepimpinan bukan soal siapa yang paling lantang, tetapi siapa yang paling mampu memimpin dengan amanah.