Tindakan lanjut calon guru perlu lakukan

Iklan
Antara tindakan lanjut yang perlu dilakukan adalah mencetak Surat Tawaran Lantikan dan Pakej Setuju Terima Tawaran sebelum 23 Februari ini.

"Terima kasih ya ALLAH. Alhamdulillah rezeki anak-anak.”

"Alhamdulillah cucu saya berjaya, syukur.”

Iklan
Iklan

"Terima kasih SPP.”

"Tahniah husband setelah sekian lama menunggu berkali-kali pergi temu duga. Tetap tidak berputus asa. Usaha tangga kejayaan.”

Iklan

"LULUS akhirnya.”

"Syabas dan tahniah kepada semua yang berjaya. Semoga jadi pendidik yang terbaik, insya-ALLAH.”

Iklan

"Semoga berjaya anakku menggantikan abah dan ummi yang sudah bersara dalam perkhidmatan pendidikan.”

"Alhamdulillah. Tahniah anakanda Amilia kerana berjaya dipilih. Berkhidmatlah dengan cemerlang."

Itulah luahan gembira dikongsi calon guru yang dilantik Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara Contract Of Service (COS).

Tidak ketinggalan juga, ahli keluarga dan saudara mara yang merakam ucapan tahniah atas rezeki menjadi cikgu baharu.

Sinar Bestari tumpang gembira, sekurang-kurangnya dunia pendidikan ‘makin berseri’ dengan adanya ramai muka-muka baharu sebagai pendidik.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) memaklumkan, seramai 6,315 calon guru berjaya dalam temu duga dan layak dilantik PPP Gred DG41 secara COS.

Mereka yang terdiri calon Graduan Bukan Pendidikan akan mengisi sebahagian keperluan guru di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seluruh negara.

Sementara itu, SPP di laman Facebook, pada Khamis mengingatkan para calon untuk membuat semakan keputusan temu duga di https://semakan.spp.gov.my/semakan/index.html sekiranya masih belum mendapat apa-apa maklumat tentang perkara berkenaan.

Selain itu, mereka turut menyenaraikan lima tindakan lanjut yang perlu bakal guru lakukan dan beri perhatian.

Berikut adalah senarainya!

1) Calon-calon yang berjaya hendaklah mencetak Surat Tawaran Lantikan dan Pakej Setuju Terima Tawaran (PSTT) sebelum 23 Februari 2024.

2) Calon-calon hendaklah mencetak SURAT TAWARAN dan dokumen-dokumen yang dilampirkan dengan segera kerana makluman keputusan ini akan dipaparkan selama dua minggu sahaja mulai daripada tarikh pengumuman dikeluarkan.

3) Calon-calon mestilah mengemukakan Borang Pemeriksaan Perubatan Untuk Pelantikan Ke Dalam Perkhidmatan Awam yang telah dilengkapkan oleh Pengamal Perubatan Berdaftar kepada Suruhanjaya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat tawaran ini dikeluarkan iaitu selewat-lewatnya pada 23 Februari 2024.

4) Surat tawaran pelantikan ini TERBATAL sekiranya calon-calon GAGAL mengemukakan Borang Pemeriksaan Perubatan yang telah dilengkapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

5) Calon-calon yang berjaya dimohon merujuk kepada Portal e-Graduan KPM di egraduan.moe.gov.my dari semasa ke semasa bagi urusan kemas kini maklumat graduan dan penempatan.

Sekiranya terdapat sebarang kesilapan alamat pada surat tawaran tersebut, calon dimohon untuk menghantar e-mel pemakluman kepada SPP.

Sila kemukakan alamat yang betul berserta nombor kad pengenalan dan nombor telefon untuk dihubungi dalam e-mel tersebut.

SPP akan menghubungi calon apabila surat tawaran telah dikemas kini dan boleh dicetak semula.