Musim cuti sekolah adalah saat dinantikan ibu bapa atau guru yang sudah bekeluarga bagi membawa anak-anak bercuti dan rehat minda.
Pelbagai tempat menjadi destinasi pilihan mereka sama ada berkhemah di tepi sungai, menjalankan aktiviti lasak atau bermandi-manda di pantai.
Namun, baru-baru ini kita telah pun dikejutkan dengan insiden yang menyayat hati apabila seorang lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk, Kuala Terenggau yang juga merupakan seorang bapa kepada dua orang anak.
Menurut perkongsian berita, kegembiraan lelaki berkenaan bersama tiga orang ahli keluarganya bertukar tragedi apabila dia yang dikatakan sedang berenang di pantai tersebut dihanyutkan ombak.
Melalui insiden ini Sinar Bestari terpanggil untuk berkongsi maklumat mengenai pantai di pantai timur serta sebab mengapa tidak dibenarkan aktiviti mandi-manda di kawasan tersebut.
Jom kita lihat.
1) Tenaga ombak sangat kuat dari kawasan tengah Laut China Selatan
Menurut perkongsian Pakar Oseanografi dan pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir yang dipetik daripada Bernama, laut di Terengganu tidak selamat untuk sebarang aktiviti mandi-manda sepanjang musim Monsun Timur Laut.
Ini kerana, tenaga ombak yang sangat kuat dari kawasan tengah Laut China Selatan sentiasa aktiviti dan boleh membawa tenaga ke kawasan pantai bila-bila masa dan ini yang sering menjadi punca lemas.
2) Faktor muka bumi
Penyelidikan yang dijalankan di kawasan pantai di pantai timur khususnya di Terengganu mendapati faktor muka bumi iaitu kecerunan pantai boleh mengundang bahaya kepada pengunjung.
Contohnya, penyelidikan di Pantai Rhu 10 mendapati ketika air surut kawasan pantai itu sangat curam seperti bukit sedangkan ia tidak terlihat pada mata kasar ketika air pasang.
3) Keadaan cuaca tidak menentu
Keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya ketika fasa peralihan Monsun Timur Laut boleh mengundang pelbagai bencana yang tidak diingini atau lebih dasyat lagi boleh membawa maut.
Justeru, ibu bapa hendaklah lebih berhati-hati dan memilih tempat percutian riadah air yang lebih selamat seperti di kolam renang atau taman tema air.