Kerjasama UK-Asia Timur lakar kecemerlangan

Iklan
Minggu Pendidikan Asia Timur British Council 2024 akan berlangsung pada 26 hingga 29 Februari 2024 di Kuala Lumpur. Gambar kecil: Jazreel Goh

British Council Malaysia akan menganjurkan Minggu Pendidikan Asia Timur British Council 2024 pada 26 hingga 29 Februari 2024 di Kuala Lumpur.

Menurut British Council Malaysia dalam kenyataan media, tiga hari pertama acara itu akan berlangsung di Hotel Sunway Resort sebelum acara kemuncak, Anugerah Alumni Study UK 2024 di W Hotel, Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Keempat-empat acara yang bakal berlangsung akan menyerlahkan setiap satu melalui lensa yang berbeza, tentang kepentingan kritikal sektor pendidikan antarabangsa dan institusinya dalam menggalakkan pertukaran pengetahuan serta idea.

"Selain itu, faedah yang diberikan oleh pertukaran sedemikian akan menjadi penting bagi pengetahuan ekonomi global untuk lebih berkembang maju,” katanya pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, British Council Malaysia memaklumkan, wakil-wakil entiti pendidikan dari United Kingdom (UK) dan rantau Asia Timur akan menyertai beberapa siri persidangan, forum dan wacana berkaitan kerjasama dan amalan-amalan terbaik dalam sistem pendidikan tinggi UK-Asia Timur.

Hasil daripada sesi yang berlangsung akan menjadi asas kepada hala tuju pihak-pihak berkepentingan yang berkongsi gagasan yang sama dalam sektor ini.

Iklan

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Asia Timur British Council, Leighton Ernsberger berkata, British Council Malaysia bekerjasama dengan penggubal dasar, kerajaan dan pihak berkepentingan lain di UK dan Asia Timur untuk mengukuhkan sistem pendidikan tinggi antarabangsa bagi memperkayakan pengalaman pelajar dan tahap keberhasilan graduan.

"Kami berharap kerjasama UK-Asia Timur yang ditonjolkan pada acara ini akan menginspirasikan kerjasama dalam aspek mobiliti pelajar yang bersifat lebih terangkum, pendidikan rentas negara, kajian berimpak tinggi dan meraikan kerjasama jangka masa panjang yang terjalin secara mampan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah British Council Malaysia, Jazreel Goh mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan ke Malaysia dan berharap acara ini akan memberikan maklumat berguna berkaitan perkembangan terkini dalam pendidikan antarabangsa.

"Kami berbesar hati menjadi tuan rumah Minggu Pendidikan Asia Timur British Council pada tahun ini sebagai penutup tirai sambutan ulang tahun ke-75 kami di Malaysia.

"Ia wadah yang terbaik untuk meraikan pelbagai kejayaan yang dikecapi selama ini,” jelas beliau.

Acara minggu pendidikan ini menyerlahkan dimensi, kesungguhan dan kekuatan tahap kerjasama pendidikan UK dengan rantau ini yang semakin mengukuh. Ia juga menzahirkan komitmen semua pihak untuk berkolaborasi bagi menjayakan agenda bersama pada masa hadapan. Akhir sekali, ia menjadi asas kepada kerjasama yang menguntungkan semua pihak dan membuka peluang untuk menambah pengetahuan serta membina kapasiti dalam menangani cabaran global dan serantau bersama-sama.

Acara menarik

Sempena Minggu Pendidikan Asia Timur British Council 2024, penganjur menampilkan acara-acara berikut.

1) Hari Pertama: Persidangan Ejen Asia Timur (26 Februari)

Persidangan hibrid ini akan membantu ejen pengambilan pelajar di Asia Timur untuk meningkatkan pengetahuan tentang industri pendidikan dan menyokong pembangunan profesional mereka. Ia juga akan membuka peluang kepada ejen berkongsi tentang inovasi terkini industri, membincangkan perkembangan dalam sektor pendidikan UK dan pelbagai lagi.

2) Hari Kedua: Forum ThinkTNE Asia Timur (27 Februari)

Acara ini ialah siri dialog utama British Council Malaysia berkenaan pendidikan transnasional (TNE) di Asia Timur yang menghimpunkan pakar dan wakil terkemuka dari UK dan Asia Timur untuk membincangkan keutamaan dan cabaran dalam pembangunan dan penyampaian TNE.

Memasuki edisi ketiga penganjuran, tema dialog tahun ini ialah Kerjasama Progresif dalam Pendidikan Transnasional bertujuan meneliti pendekatan TNE dalam menggalakkan anjakan daripada kebergantungan pada 'francais pengajaran' kepada kerjasama strategik institusi.

3) Hari Ketiga: Pameran Meja Bulat Pendidikan Tinggi dan Kerjasama UK-Malaysia (28 Februari)

Acara ini akan menjadi tuan rumah kepada pertemuan pihak berkepentingan pendidikan tinggi, penggubal dasar dan pemimpin institusi dengan tumpuan kepada tema 'Mengukuhkan kembali kerjasama dan membina cita-cita’.

Perbincangan akan berfokus kepada usaha menggiatkan semula kerjasama selaras dengan perkembangan serantau dan global serta meneliti mekanisme dan peranan pihak berkepentingan seperti Konsortium Universiti UK-Malaysia.

Objektifnya adalah untuk menggagaskan pelan tindakan yang sejajar dengan Memorandum Persefahaman (MoU) UK-Malaysia dalam Pendidikan Tinggi.

4) Hari Keempat: Anugerah Alumni Study UK (29 Februari)

Menutup tirai Minggu Pendidikan Asia Timur British Council 2024 ialah edisi keenam Anugerah Alumni Study UK.

Acara utama ini meraikan impak besar alumni UK yang cemerlang merangkumi golongan profesional dan usahawan sehinggalah kepada golongan seniman dan pemimpin masyarakat merentasi empat kategori yang meluas iaitu sains dan kelestarian, perniagaan dan inovasi, kebudayaan dan kreatif serta tindakan sosial.

Dianjurkan sebagai sambutan makan malam gala, acara ini ialah peluang untuk bertemu, berkenalan dan meraikan penerima anugerah bersama Alumni UK dari institusi-institusi UK yang terkemuka di Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti dan penceramah boleh didapati dengan mendaftar di: http://tinyurl.com/vv26j9fv

INFO

British Council ialah organisasi antarabangsa UK yang mengkhusus dalam perhubungan budaya dan peluang pendidikan.

Kami menyokong keamanan dan kemakmuran dengan membina hubungan, menjalinkan persefahaman dan memupuk kepercayaan antara masyarakat di UK dan negara-negara di seluruh dunia.

Mencapai objektif ini melalui usaha dalam bidang seni dan budaya, pendidikan dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Khidmat disampaikan kepada penduduk di lebih 200 negara dan wilayah dan beroperasi secara fizikal di lebih 100 negara.

Pada 2021–2022, kami telah menjangkau lebih 650 juta orang manakala 2023, British Council di Malaysia menyambut ulang tahun yang ke-75, meraikan komitmen dalam membina hubungan antara UK dan Malaysia.