Cuti persekolahan masih lagi berlangsung ketika ini.
Ibu bapa dan para penjaga tentunya sedang sibuk menyediakan kelengkapan dan pakaian seragam sekolah anak masing-masing seperti membeli pakaian dan seluar sekolah, kasut dan stoking serta barang-barang berkaitan.
Bagi seragam sekolah yang masih elok, wajarlah dipakai pada sesi persekolahan baharu nanti.
Hanya ganti sahaja pakaian yang sudah lusuh, itu sahaja!
Kepada ibu yang tidak berkemampuan membeli baju sekolah baharu, anda boleh mencuba tujuh tip ini sebagai langkah memutihkan semula baju sekolah anak-anak.
Sekurang-kurangnya, apabila mereka memakainya, tidaklah rasa ralat dan rendah diri berbanding rakan-rakan yang menggayakan baju baharu.
Hari ini, Sinar Bestari tertarik perkongsian Dobiru di akaun Facebooknya.
Beliau berkongsi cara mencuci baju putih menggunakan bahan mudah sekali gus pakaian itu kelihatan bak baju baharu.
Jom kami bawakan cara-caranya sebagai rujukan. Semoga bermanfaat!
1) Perahan lemon
Perahan lemon mampu memutihkan baju. Rendamkan baju di dalam baldi dengan air bersih. Pastikan baju terendam sepenuhnya. Ambil satu atau dua biji lemon (keperluan lemon bergantung kepada kuantiti baju) dan perahkan ke dalam rendaman tadi.
Selesai perah, masukkan lemon tadi ke dalam rendaman dan kacau rata. Rendam selama 10 minit. Kemudian, lakukan cucian seperti biasa.
2) Pes atau cecair pencuci pinggan
Untuk menghilangkan kesan sambal pada baju sekolah, ibu boleh gunakan pes atau cecair pencuci pinggan terus pada kotoran tersebut. Sapu pes pada bahagian yang terkena sambal tadi dan biarkan 15 hingga 20 minit. Selepas itu, cuci seperti biasa.
3) Sabun mandi
Untuk menghilangkan kotoran degil, para ibu digalak basahkan keseluruhan baju terlebih dahulu dan gosokkan sabun mandi yang jenis ‘buku’ terus pada bahagian kotoran.
Gunakan berus baju yang lembut dan gosokkan pada bahagian kotor tadi. Seterusnya, cuci macam biasa.
4) Susu pekat
Kesan dakwat pen pada baju memang sukar dihilangkan. Jadi, sebelum anda gunakan sebarang bahan untuk mencuci kesan pen, ambil tiga sudu susu pekat dan campurkan sedikit bersama air.
Alihkan bancuhan tadi ke atas kesan pen dan biarkan selama satu jam. Selepas itu, cuci dengan sabun seperti biasa.
5) Marjerin
Untuk hilangkan kesan minyak pada pakaian, gunakan majerin. Cara mencucinya, sapukan sedikit marjerin pada bahagian terkena minyak dan biarkan beberapa minit.
Rendam baju tadi dengan air suam untuk dibersihkan sepenuhnya sapuan marjerin tadi. Jika masih tidak bersih sapuan marjerin tadi, cuci beberapa kali dengan air suam. Selepas itu, ibu boleh cuci seperti biasa.
6) Tepung
Tepung adalah pilihan terbaik untuk mencuci kesan minyak pada pakaian. Campurkan beberapa sudu tepung dengan air. Pastikan kelikatan campuran menjadi seperti pes ubat gigi dan sapukan pada bahagian bermasalah. Biarkan pes tadi mengeras dan bersihkan sebelum di cuci seperti biasa.
7) Limau nipis
Rendam baju dalam air panas. Ambil beberapa biji limau nipis (lima hingga 10 biji) bergantung kepada berapa banyak baju dan kesan lunturan tadi.
Perah limau nipis ke dalam air panas mengandungi baju tadi dan campurkan sedikit sabun basuh. Kacau dan rendam dalam satu jam. Selepas itu bilas seperti biasa.