Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merafak sembah menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena pembukaan penggal ketiga, Parlimen Ke-15 pada 26 Februari lalu, yang turut menyentuh beberapa perkara melibatkan bidang pendidikan.
KPM memaklumkan, pihaknya sentiasa proaktif dalam memastikan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan menerusi aktiviti dalam dan luar bilik darjah.
Malah, melalui bahasa ini, semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan murid sejak daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah.
"KPM turut memanfaatkan teknologi dan digital secara berterusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.
"Dasar Pendidikan Digital (DPD) dirangka bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing dan berupaya mengguna pakai teknologi untuk pembelajaran serta memanfaatkan inovasi digital di sekolah atau di mana sahaja," ujar KPM menerusi kenyataan pada Khamis.
Selaras dengan perjanjian Malaysia 1963, KPM meneruskan rundingan dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam memastikan pendidikan di kedua-dua negeri itu dapat terus ditingkatkan untuk manfaat semua warga pendidikan.
Sementara itu, bagi melahirkan murid yang berkemahiran tinggi dan dapat memenuhi keperluan industri dan negara, KPM memaklumkan akan terus memperkasa bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
KPM juga menyediakan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang selari dengan hasrat tersebut.
Dalam pada itu, seiring usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi seterusnya membantu dalam mengurangkan bebanan ibu bapa, pelbagai bentuk bantuan persekolahan telah disediakan kepada murid oleh KPM termasuklah Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).
"Dalam usaha meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti, pendidikan karakter dan manusiawi turut diberikan perhatian oleh KPM di samping penekanan kepada aspek karamah insaniah bagi memastikan generasi akan datang mempunyai akhlak, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh bagi memenuhi aspirasi nasional,” jelas kementerian itu lagi.
Menyedari kepentingan pendidikan bagi setiap warganegara tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang, KPM tidak ketinggalan melaksanakan langkah awal dalam menyelaras pendidikan prasekolah di Malaysia agar isu keciciran ditangani dari peringkat awal.
Akhir sekali, KPM akan terus berusaha memastikan saranan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.