Keputusan bagi kemasukan ke Sekolah Khusus dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat Tahun 2024 telah pun diumumkan.
Yang mendapat tempat di sekolah-sekolah berkenaan, sudah semestinya melonjak kegembiraan kerana berjaya ke tempat pengajian impian.
Yang tidak, jangan berputus asa. Bersekolah di sekolah menengah harian pun boleh berjaya seperti orang lain.
Berbicara mengenai persiapan ke Sekolah Khusus iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) serta MRSM, Cikgu Adham Berhaumidin dari Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang Selangor berkata, persiapan akademik semata-mata tidak mencukupi bagi pelajar yang mendapat tawaran ke asrama penuh.
"Banyak perkara yang perlu dilihat dalam konteks ini.
"Selain persediaan rapi para pelajar, saya kira golongan ibu bapa juga perlu bersedia dalam memastikan kemandirian dan momentum kehidupan anak-anak di asrama penuh, berjaya dan mencapai objektif,” ujar guru ini seperti dipetik menerusi blognya.
Cikgu Adham berkata, terdapat 10 perkara penting yang perlu diberi perhatian pelajar dan ibu bapa berkaitan penempatan ke asrama penuh.
10 info itu terdiri daripada:
1) Kawalan dan penjagaan berterusan
Struktur kawalan dan penjagaan berterusan yang dibuat pihak kerajaan bagi memastikan pelajar meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
2) Elak gejala negatif
Menghindari gejala negatif dan pengaruh buruk rakan sebaya seperti merokok, dadah dan lain-lain seperti di sekolah harian. Di sekolah berasrama seperti SBP, gejala seperti ini terkawal dan jika didapati ada kes sedemikian, pelajar terdedah kepada undang-undang tegas seperti dibuang sekolah.
3) Lebih tersusun
Aktiviti pembelajaran juga lebih tersusun kerana pelajar di asrama penuh perlu mematuhi jadual ketat seperti jadual pembelajaran berguru (sekolah), kelas persediaan (prep), solat berjemaah dan riadah.
4) Berdikari
Lepasan Sekolah Khusus yang lain biasanya lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Mereka lebih berdikari ilmu yang mungkin tidak diperolehi di sekolah harian.
5) Hidup sistematik
Manusia perlu ada rutin kerana dengan ini mereka boleh belajar banyak perkara dalam hidup.
Misalnya di asrama penuh, perlu awal pagi untuk subuh berjemaah, diikuti sarapan, kelas akademik, prep, riadah, aktiviti kerohanian waktu Maghrib, prep malam dan sebagainya.
Jika dilihat aktiviti pelajar di asrama penuh, memang diisi dengan aktiviti berfaedah. Bagaimanapun, masih ada ruang untuk pelajar menonton televisyen, mendengar muzik dan melayari internet dalam kuantiti terkawal serta tidak sampai membuang masa.
6) Meluaskan kenalan
Kewujudan teknologi maklumat dan kebanjiran gajet menyebabkan dunia anak-anak sekarang kurang bersosial. Bersosial di laman sosial sangat berbeza dengan dunia nyata. Inilah masanya untuk menyediakan mereka dengan dunia realiti dalam pergaulan masyarakat.
Di Sekolah Khusus, mereka akan mengenal erti sahabat dan akhirnya dapat meneruskan cabaran hidup apabila dewasa kelak.
7) Memaksimakan potensi diri
Di Sekolah Khusus seperti SBP dan lain-lain, pelajar akan bersaing dengan pelajar terpilih.
Persaingan sihat ini secara tidak langsung akan memaksimakan potensi diri anak-anak bukan sahaja dalam bidang akademik, malah kokurikulum.
Jika hendak dibandingkan dengan prestasi akademik, kebanyakan pelajar di sini adalah cemerlang dalam akademik, yang membezakan mereka adalah penampilan, lebih berani, gaya, kepimpinan, kepetahan bercakap, daya juang dan pelbagai kemahiran insaniah lain.
Inilah yang akan digilap bagi menjadikan diri mereka terbaik daripada kalangan terbaik.
8) Belajar hidup susah dan kuatkan jati diri
Di asrama penuh, pelajar akan mula berdikari seperti membasuh baju, mengemas barang peribadi, berdisiplin, pantas bertindak dan lain-lain.
Erti kesusahan ini akan mentarbiah pelajar dan hanya akan terasa nikmatnya bila keluar asrama nanti.
9) Mengembara
Program di sini menyediakan ruang untuk pelajar mengembara seluruh negara melalui kem perkhemahan, seminar, sukan dan banyak lagi.
Aktiviti sebegini secara tidak langsung membina jaringan perhubungan luas antara pelajar dan ini akan berterusan apabila ke institut pengajian tinggi (IPT) dan memasuki dunia pekerjaan.
10) Kesihatan yang baik
Sebelum mendaftar masuk ke asrama penuh, pelajar diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan kerana ada aktiviti memerlukan mereka aktif, cergas, berdikari dan bertenaga dalam setiap aspek.