Kelab Bakti Gunung Kledang (KBGK) bersama Puncak Emas Infra Sdn Bhd menyumbang 100 set keperluan sekolah kepada anak-anak yatim dan Orang Asli terpilih menjelang sesi baharu persekolahan minggu hadapan.
Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang, Hamzah Md Hamdan berkata, sumbangan yang diberikan berupa keperluan sekolah seperti pakaian, beg, tali pinggang, tudung, stokin dan kasut sekolah.
"Pemberian sumbangan ini bertujuan mengurangkan beban ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang kita pilih untuk menerimanya.
"Kami merakamkan terima kasih kepada pihak syarikat dan berharap ada lagi syarikat lain yang tampil untuk bersama membantu usaha membentuk anak-anak Perak berjaya dalam pendidikan seterusnya dalam kehidupan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, pembangunan modal insan merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan oleh KBGK dan Puncak Emas.
Katanya, usaha itu dilakukan bagi membantu komuniti melahirkan generasi yang berilmu, mahir dan cemerlang dalam pendidikan.
Jelasnya, selain itu isu tekanan mental juga perlu dititikberatkan selain dari asbab kemiskinan.
"Hari ini kita lihat ramai orang pada fizikalnya normal, tetapi hakikatnya jiwa mereka tertekan dengan keadaan semasa dan ia dibimbangi merebak kepada generasi muda.
"Oleh itu kita perlu bersama-sama memainkan peranan masing-masing untuk terus memberi semangat serta keceriaan kepada para pelajar sekali gus membantu mengurangkan tekanan kehidupan mereka,” katanya.
Penyampaian sumbangan itu disempurnakan di dua lokasi berbeza iaitu di Rumah Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam, Ipoh, Perak dan Perkampungan Orang Asli Kampung Lalang, Simpang Pulai, Ipoh, Perak.
Selain sumbangan 100 set kelengkapan persekolahan, Puncak Emas turut menaja pembukaan akaun Tabung Haji kepada penerima sumbangan.