Setiap pelajar mengimpikan untuk menjadi individu yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.
Mereka tidak kisah berhempas pulas mengulang kaji pelajaran tanpa henti semata-mata mahu mendapat keputusan luar biasa dalam peperiksaan.
Dalam topik ini, Sinar Bestari tertarik dengan hantaran yang dimuat naik Dr Zulkifli Hussain di Facebooknya pada 23 April 2021.
Beliau menulis, kesusahan dan kekangan kewangan bukan penghalang untuk berjaya.
Yang penting, seorang pelajar itu perlu ada usaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan apa yang dimahukan.
Perkongsian Zulkifli tersebut merujuk kepada kecemerlangan Nor Amelia Mohd Yadi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.
Beliau yang meraih 9A+ berkata, apa yang diraih itu adalah berkat doa keluarga, guru-guru dan rakan-rakan di samping usaha berterusan sebelum peperiksaan.
Ujar Zulkifli, Nor Amelia mempunyai cara tersendiri untuk melakar kecemerlangan dalam SPM.
Ketahui sembilan amalan yang dilakukan pelajar cemerlang ini seperti dikongsi Zulkifli di media sosial.
*****
Nor Amelia dilahirkan di Puchong, Selangor namun kini menetap di Kuala Terengganu. Dia anak ketiga daripada tujuh adik beradik. Bapa seorang pemandu manakala ibu peniaga makanan.
Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga, dia bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Besut, Terengganu dan meraih keputusan 10A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2017.
Aktif mewakili maktab dalam pertandingan debat, sains dan matematik. Namun, perkara ini tidak menjadi satu halangan dalam mengekalkan prestasi akademik.
Sekarang Nor Amelia sedang menuntut di Kolej Yayasan UEM. Dia juga sedang mengikuti pengajian peringkat A-Level seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan Elektrik) di luar negara.
Nor Amelia berkongsi koleksi tip kejayaan
1) Sasarkan yang terbaik
Sejak Tingkatan Satu lagi, saya sentiasa menetapkan sasaran untuk mendapatkan 4.00 setiap semester. Alhamdulillah, sepanjang bergelar pelajar MRSM, saya berjaya mencapai PNG 4.00 sebanyak enam kali.
Namun, andai tidak mendapat PNG 4.00 sekalipun, saya sentiasa menjadikan perkara tersebut sebagai dorongan untuk berusaha lebih gigih.
Semasa Tingkatan Lima, saya sentiasa menetapkan mindset bahawa akan mendapat 9A+.
Bahkan, saya menulis ‘Amelia 9A+' di setiap buku, kertas, helaian latihan mahupun alat tulis kerana saya percaya ia merupakan satu doa.
2) Fokus dalam kelas
Saya sentiasa memastikan diri segar sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berlangsung.
Elakkan tidur dalam kelas dan fokus terhadap apa yang sedang diajar. Seandainya ada masa lapang, saya akan mengulang kaji sesuatu topik yang belum diajar supaya tidak terpinga-pinga dalam kelas.
3) Pengurusan masa
Setiap pelajar perlu menilai kemampuan masing-masing dan merancang jadual belajar sesuai.
Ketika di Tingkatan Lima, saya amalkan ‘power nap’ pada setiap malam. Setelah selesai bacaan Al-Mulk saya akan tidur sebentar lebih kurang 10-30 minit, kemudian akan mengulang kaji setiap topik yang sudah lama ditinggalkan untuk dikuasai sepenuhnya.
Bagi saya, perkara ini sangat penting supaya pelajar tidak terbeban mengulang kaji ketika musim peperiksaan. Jadi, ketika peperiksaan, saya hanya banyakkan latihan sahaja
4) Nota
Pada pendapat saya, meskipun ada pelajar menggunakan nota dalam iPad atau telefon pintar, adalah lebih baik untuk menyalin nota tersebut.
Semasa semester 2 Tingkatan Lima, saya mula mengasingkan nota di dalam kelas dan nota ‘self study’. Nota ini adalah termasuk nota penting di dalam kelas yang disalin semula, nota daripada video-video di YouTube dan soalan yang kerap ditanya dalam topik tersebut.
Untuk meningkatkan kefahaman, biasanya saya melukis dan tidak sekadar menulis. Gunakan pelbagai warna dalam nota supaya lebih mudah ingat.
5) Amalan rohani
Saya sentiasa amalkan surah Al-Waqiah, Al-Kahf, Luqman dan Ad-Dukhan. Seeloknya, dibaca setiap hari. Pada prep pagi, saya mulakan dengan membaca Al-Mathurat supaya lebih tenang untuk belajar.
Pada waktu malam, amalkan solat sunat hajat dan solat sunat taubat. Dalam doa pula, di samping mendoakan keputusan 9A+, saya amalkan doa 'Ya ALLAH, rezekikanlah kami keputusan yang terbaik supaya kami tidak melupakanmu' kerana mungkin keputusan cemerlang bukanlah yang terbaik sebaliknya menjadikan kita semakin riak dan jauh daripada ALLAH.
6) Hormat ibu bapa dan guru
Setiap minggu, saya sentiasa berhubung dengan keluarga dan memohon doa mereka.
Keluarga adalah sebab utama yang menjadikan diri lebih semangat untuk belajar,
Dalam konteks guru pula, sentiasa hormat guru dan jaga hati mereka. Siapkan kerja rumah kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman, bahkan dapat menggembirakan hati guru-guru.
Selain itu, sentiasalah selitkan ibu bapa dan guru-guru dalam doa.
7) Belajar berkumpulan
Bagi pelajar yang mengalami kesukaran memahami sesuatu topik, disarankan belajar secara berkumpulan. Jika ada masa lapang, mulakan perbincangan dalam kumpulan.
Pelajar yang lebih cemerlang pula seeloknya saling berkongsi ilmu dan sentiasa peka apabila ada pelajar yang ingin bertanya.
8) Banyakkan latihan
Bagi sesetengah subjek seperti Matematik Tambahan dan Matematik, cara terbaik mendapat A+ adalah sentiasa melakukan latihan soalan KBAT.
Subjek-subjek lain pula, saya menjawab soalan-soalan percubaan setiap negeri.
Buat nota ringkas terhadap soalan yang kerap ditanya dan sentiasa berjumpa guru untuk mendapatkan kepastian.
9) Pengurusan stres
Bagi saya, pengurusan stres amat penting. Jadi, sentiasalah positif dan hindarkan diri daripada terlibat dalam kes-kes disiplin.
Dalam proses belajar pula, sentiasa ingatkan diri untuk berusaha lebih gigih daripada orang lain kerana itulah yang membezakan pelajar biasa dengan pelajar luar biasa.
Percayalah, setiap usaha yang anda lakukan hari ini akan menyumbang kepada senyuman di kemudian hari.