Kasih seorang bapa sanggup mengambil cuti kerja dan menjadi maskot mengiringi hari pertama persekolahan anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Damai, Ipoh, Perak pada Isnin.
Syed Azrul Nazuen Sayed Daud, 49, memakai maskot beruang mengambil pendekatan itu demi memastikan dua anaknya masing-masing berusia 10 dan 12 tahun bersemangat memulakan sesi baharu di sekolah.
"Kalau boleh setiap tahun saya nak lakukan perkara sama, saya terharu kerana bukan anak saya sahaja yang gembira, murid lain pun bukan main seronok mahu mengambil gambar.
"Melihat maskot datang menyambut kehadiran mereka pagi ini, sedikit sebanyak usaha ini dapat menceriakan mereka kembali ke sekolah," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Bapa enam anak yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu mengakui, berbesar hati apabila pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyambut baik dan sama-sama merealisasikan hasrat tersebut.
"Kebetulan esok umat Islam berpuasa, jadi saya ambil cuti tambahan untuk pastikan anak-anak saya bersedia ke sekolah," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Mohd Halim Arafulla berkata, ini merupakan tahun kedua sekolah itu menampilkan maskot sebagai keistimewaan hari pertama sesi persekolahan.
Katanya, tahun lalu menampilkan maskot watak-watak dalam kartun Disney mendapat reaksi positif terutama kalangan ibu bapa yang mendapati anak mereka lebih bersemangat ke sekolah.
"Tahun kedua ini, kami pilih maskot yang tular di media sosial dan popular dalam kalangan murid sekolah rendah pula termasuklah katak dan dinasor T-rex," katanya.