Tambah guru elak bebanan kerja melampau

Iklan
Abdul Rahman

SHAH ALAM - Pertambahan guru perlu seiring dengan peningkatan jumlah pelajar bagi mengelakkan beban kerja melampau.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, jurang nisbah guru dan murid ketika ini terlalu besar iaitu 1:45 berbanding nisbah dicadangkan 1:20.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain tugas semakin bertambah, beberapa isu lain turut menyebabkan ramai guru tertekan termasuk dasar yang sentiasa berubah-ubah dan gaji tidak setara dengan komitmen diberikan.

"Saya melihat isu melibatkan guru ini sama seperti doktor, justeru pertimbangan untuk menambah bilangannya perlu seiring dengan pertambahan murid agar nisbahnya tidak terlalu besar.

Iklan

"Bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran pula, sudah tiba masanya untuk kerajaan menimbang kembali tugas-tugas sampingan yang terpaksa mereka lakukan agar guru lebih fokus.

"Selain itu, dasar yang dibuat juga jangan terlalu kerap berubah sehingga boleh menyebabkan mereka tertekan dan kadar gaji perlu meningkat seiring dengan tugas yang semakin bertambah serta kenaikan kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang isu sekolah padat sehingga ada jumlah pelajar mencecah 3,000 orang.

Iklan

Keadaan itu sekali gus memberi bebanan kepada guru yang akhirnya akan menambah tugasan kerja mereka di sekolah dan rumah serta boleh menyumbang kepada isu guru bersara awal kerana tekanan tugas.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pada Ahad berkata, keadaan yang padat itu juga akan mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.

Jelasnya, ia juga akan menyukarkan guru untuk memberi tumpuan dan bimbingan kepada setiap murid bagi memastikan mereka benar-benar menguasai ilmu serta kemahiran yang diajar.