Cuaca panas: Ibu muat naik hantaran tarik perhatian warganet

Iklan
Berfikir sebelum bertindak supaya tidak melakukan sebarang tindakan boleh mengundang kesan buruk di kemudian hari.
Bulan Ramadan sememangnya kita diuji dengan pelbagai dugaan dan ujian, apatah lagi negara kini menghadapi cuaca panas membahang.

Sebelum ini juga Jabatan Metreologi Malaysia (MetMalaysia) pernah mengeluarkan amaran cuaca panas tahap berjaga-jaga di 10 kawasan Semenanjung Malaysia dan satu di Sarawak.

Keadaan ini pastinya menimbulkan kebimbangan ramai pihak terutamanya ibu bapa beragama Islam akan kesihatan anak-anak yang berpuasa dan perlu hadir bersekolah sepanjang hari.

Namun, perasaan khuatir ini hendaklah berpada-pada dan tidak melampaui batas sehingga memuat naik sebarang komen yang boleh mendatangkan kesan buruk pada kemudian hari.

Pada Khamis, media sosial dikejutkan dengan perkongsian seorang ibu yang memuat naik status Facebooknya dengan menanyakan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi cuti sekolah pada bulan puasa ini.

"Minggu depan dijangka panas yang melampau. KPM tak nak beri cuti sekolah pada bulan puasa ke?” tulisnya dalam satu hantaran.

Meninjau ke ruangan komen, Sinar Bestari mendapati perkongsian itu mendapat perhatian ramai netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan saranan ibu berkenaan untuk cuti sekolah pada bulan Ramadan ini.

Antara komen yang sempat dipetik adalah:

"Sesi sekolah semakin pendek. KPM nak kembalikan sesi sekolah bermula Januari. Kalau diberi cuti lagi nanti akan menganggu takwim persekolahan. Macam anak saya nak SPM, ‘struggle’ guru dan pelajar nak habiskan silibus. Harap dengan kelonggaran pemakaian baju sukan dapat bantu beri keselesaan pelajar di musim panas tidak menentu,” kata Haryati Abdullah.

"Tak habis-habis fikir nak cuti. Dengan nak kejar silibus. Anak dekat rumah tak jalan-jalan keluar ke? Sama juga panasnya. Elok lagi pergi sekolah,” kata Eira Zafira.

"Bila PKP suruh pergi sekolah, bila puasa suruh cuti pula. Kalau panas, belikan anak kipas kecil dan suruh buka dalam kelas. Rasanya sepanjang puasa tiada aktiviti luar kelas. Doa dekat ALLAH supaya jagakan anak ketika di sekolah,” kata Atikah Zuhaimi.

"Sabarlah sikit kan ada macam-macam tips hadap cuaca panas. Takkan lah asyik nak cuti sahaja. Jangan terlalu manja sikit-sikit nak cuti. Pembelajaran maki ketinggalan. Keadaan cuti panas sekarang bukannya tahap terlalu kritikal. Kadang anak okey sahaja mak ayah pula yang lebih,” kata Muhammad Syafiq.