Ini pendapat peribadi Maszlee tentang buli

Iklan
Perbuatan buli timbul apabila sekelompok manusia merasa mereka lebih kuat, mulia, berkuasa ataupun gagah berbanding mangsa buli. Kredit foto: Sinar Harian

Kejadian pelajar lelaki berusia 17 tahun yang maut akibat dipukul di sebuah Kolej Vokasional (KV) di Lahad Datu, Sabah cukup meninggalkan kesan kepada masyarakat di negara ini.

Tidak terkecuali dengan mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang tampil memberi pandangan peribadi tentang isu buli membabitkan pelajar di sekolah.

Iklan
Iklan

Pendapat beliau yang dipetik menerusi laman Facebooknya pada Ahad memaklumkan, buli adalah satu dosa besar dan kesalahan jenayah.

"Insiden buli yang telah meragut nyawa seorang pelajar KV bukanlah satu yang baru di Malaysia. Insiden seumpamanya telah berkali-kali berlaku dan dilaporkan oleh media.

Iklan

"Kejadian buli di Malaysia bukan sekadar di asrama sahaja malah perbuatan buli juga berlaku di institusi pengajian tinggi (IPT), pusat-pusat latihan, kem tentera, di tempat kerja, perniagaan, alam maya (cyber), ranah politik, dalam keluarga di rumah, ke atas warga asing, di tempat awam, malah di jalan raya,” kongsi beliau.

Tulis tokoh ini lagi, perbuatan buli timbul apabila sekelompok manusia merasa mereka lebih kuat, mulia, berkuasa ataupun gagah berbanding mangsa buli. Mereka tidak menghormati malah memandang rendah kepada mangsa.

Iklan

"Para pembuli biasanya adalah kelompok pengecut yang hanya berani bila mereka ramai dan berkelompok. Pembuli tidak berani untuk berhadapan secara gentleman ataupun berunding secara bertamadun.

"Sesiapa sahaja pun berpotensi menjadi mangsa buli jika perbuatan buli dinormalisasikan, dipopularkan dan tidak dicegah secara bersepadu oleh masyarakat.

"Masyarakat segenap bangsa, etnik, agama dan budaya di Malaysia perlu melihat dan menyikapi perbuatan buli sebagai satu perbuatan dosa, tidak bermoral dan jenayah yang wajib dibendung dan dihapuskan dari kamus kehidupan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Mazlee turut menulis di Facebooknya lagi, tugas menghapuskan buli bukan hanya sekadar tanggungjawab pihak sekolah semata-mata, malah ibu bapa, cerdik pandai, media arus perdana, media alternatif, para pengkarya, artis, seniman, sasterawan, pihak berkuasa tempatan, para pendakwah, pemimpin agama, pempengaruh, ahli sukan, NGO, para pemimpin dan semua lapisan masyarakat perlu menentang perbuatan buli dan menjadikannya satu perbuatan jenayah terkutuk dan terlarang dalam hidup rakyat.

"Big Data, algorithms dan teknologi kecerdasan buatan (AI) mestilah digunakan untuk mengekang buli dan menghapuskannya. Banyak usaha boleh dilakukan melalui teknologi tersebut.

"Selain itu, kempen dan kesedaran terhadap jijiknya perbuatan buli ini perlu bermula semenjak pra-sekolah lagi.

"Anak-anak perlu didedahkan dengan apakah yang dikatakan perbuatan buli dan mengapa ia menjadi satu kesalahan dan dosa,” ujarnya lagi.

Akhir sekali, Maszlee berharap, kempen anti buli perlu diadakan berterusan di semua peringkat pendidikan, di tempat kerja, di semua tempat awam dan juga di media samada televisyen, radio, mahupun media sosial (medsos).

"Katakan TIDAK kepada perbuatan buli, katakan BULI adalah DOSA dan JENAYAH terkutuk!,” tegas beliau.