Pentingnya menjaga kesihatan gigi

Iklan
Kekurangan akses penjagaan pergigian menjadi masalah kepada murid kerana mereka mungkin tidak mendapat maklumat penjagaan gigi yang mencukupi - Doktor Ashraf

Doktor Ashraf kongsi pengalaman sebagai doktor gigi

Kesihatan merupakan aset penting dalam kehidupan manusia dan menjadi aspek utama dalam memastikan setiap urusan seharian berjalan lancar tanpa halangan.

Kepentingan penjagaan kesihatan ini meliputi seluruh perkara termasuklah kesihatan gigi yang sering dipandang remeh oleh sesetengah pihak.

Iklan
Iklan

Mana tidaknya, ibarat sudah terhantuk baharu tengadah antara sebab mengapa sebahagian pesakit mendapatkan rawatan pergigian di klinik atau hospital.

Bersempena dengan Hari Kesihatan Mulut Sedunia yang disambut setiap 20 Mac, Sinar Bestari berkesempatan menemu bual doktor gigi bagi menjelaskan skop kerja bidang tersebut sebagai maklumat kepada adik-adik yang juga berminat menceburinya kelak.

Iklan

Doktor Ashraf Marwan Yahaya, 35, merupakan graduan Ijazah Pergigian dari Jordan University of Science and Technology yang menamatkan pengajian pada tahun 2012.

Menurut Doktor Ashraf, bekerja sebagai doktor gigi berdepan dengan pelbagai cabaran dan salah satunya adalah Dentophobia yang masih ada dalam kalangan masyarakat hari ini.

Doktor Ashraf



Masakan tidak, bidang pergigian sering kali dianggap sebagai stigma menakutkan dan menyakitkan sehingga menimbulkan jurang antara perawatan pergigian dan masyarakat khususnya kanak-kanak.

Iklan

"Walau bagaimanapun, Alhamdulillah dapat saya katakan bertambah baik dari tahun ke tahun dengan pelbagai usaha dilakukan bagi mendekati dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan kesihatan pergigian.

"Kita lihat sekarang ini, •klinik gigi lebih kondusif dan berkonsepkan lebih mesra berbanding dahulu sehingga membuatkan ramai mula sedar akan kepentingan untuk mendapatkan rawatan pergigian, sekurang-kurangnya enam bulan sekali,” katanya.

Ditambah pula dengan zaman media sosial yang menjadikan kecantikan sebagai satu elemen utama menyebabkan ramai masyarakat mencari jalan keluar sekiranya berdepan dengan masalah gigi termasuklah ibu bapa.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 13 tahun sebagai doktor gigi berkata, anak-anak remaja yang mempunyai masalah bentuk gigi pastinya akan mendapatkan rawatan kosmetik pergigian seperti memakai pendakap gigi (•braces•).

"Justeru, doktor gigi ini dapat dikaitkan dengan pekerjaan yang memerlukan kemahiran seni.

"Selain membuat tampalan dan mengganti gigi, mereka juga perlu mempunyai kemahiran tangan yang baik bagi mendapatkan hasil bentuk gigi serta senyuman yang cantik.

"Lebih-lebih zaman media sosial yang menjadikan kecantikan sebagai tunjang utama bentuk fizikal seseorang. Oleh itu, doktor gigi perlu sentiasa menambah ilmu dan peka dengan perkembangan teknologi baru bagi memberikan rawatan terbaik kepada pesakit,” jelasnya lagi.

Kurang kesedaran

Bercerita lanjut mengenai masalah gigi yang sering dihadapi dalam kalangan murid sekolah rendah, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berkata, ia berkait rapat dengan kurangnya kesedaran terhadap kepentingan kesihatan gigi.

Doktor Ashraf mengakui, kebanyakan murid mahupun pelajar tidak memahami akan teknik memberus gigi dan penjagaan kesihatan mulut yang baik.

Malah, kata beliau, lambakan makanan tinggi kandungan gula serta trend pemakanan hari ini yang tidak berkhasiat tmeningkatkan risiko karies gigi dan beberapa masalah lain.

"Kekurangan akses penjagaan pergigian menjadi masalah kepada murid kerana mereka mungkin tidak mendapat maklumat penjagaan gigi yang mencukupi.

"Ditambah pula dengan program kesihatan pergigian di sekolah yang tidak mencakupi keseluruhan murid atau kurang menumpukan aspek pencegahan,” katanya.

Doktor Ashraf menyatakan, kesedaran yang lebih baik tentang kebersihan mulut, pemakanan sihat, akses penjagaan pergigian yang berkualiti serta penyertaan program kesihatan gigi di sekolah yang efektif membantu mengurangkan masalah gigi dalam kalangan murid.

Mengakhiri perbualan, Doktor Ashraf menerangkan kepentingan kerjaya doktor gigi berperanan penting dalam memastikan kesihatan mulut yang baik.

"Bukan sahaja gigi, kesihatan mulut seperti penyakit kanser mulut, trauma berkaitan tulang muka dan rahang serta kesihatan secara keseluruhan yang mana ia berkait rapat dengan pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, diabetes dan komplikasi kehamilan.

"Disebabkan itu, doktor gigi bertanggungjawab membantu mengurangkan risiko penyakit ini dengan memastikan kesihatan mulut yang baik kepada semua orang,” ujarnya.