'Hello Talk!' yang merupakan program pemantapan bahasa Inggeris bagi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Tohor, Muar dilaksanakan dengan jayanya pada penghujung Februari lalu.
Program anjuran Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik, UTeM dan Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE – UTeM itu, mendapat kerjasama Pusat Pengajian Bahasa UTeM dan Pejabat Pendidikan Daerah Muar.
Hello Talk menggabungkan seramai 22 mahasiswa tempatan dan antarabangsa sebagai fasilitator, bersama 33 orang murid dari SK Tanjong Tohor, yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).
Meskipun dianjurkan semasa musim cuti penggal persekolahan yang lalu, penyertaan daripada murid begitu menggalakan. Mahasiswa yang terlibat adalah dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia dan Universiti Teknologi Brunei (UTB), Brunei yang sedang mengikuti program mobilti tanpa kredit - UTeM Winter School (UWINS) 2024.
Hello Talk! merupakan sebuah Program Perkongsian dan Pemindahan Ilmu (KSTP) yang bertujuan memindahkan ilmu dan kepakaran dalam teknik komunikasi dan pertuturan dalam Bahasa Inggeris kepada murid-murid SK Tanjong Tohor.
Program ini berjaya mewujudkan satu suasana yang positif dan kondusif dalam memotivasikan murid-murid untuk berkomunikasi dengan lebih yakin dalam bahasa Inggeris.
Pengarah Program UWINS2024, Dr Mohd Rusdy Yaacob berkata, penglibatan mahasiswa antarabangsa sejajar matlamat memperkukuhkan Matlamat Pembangungan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 dan SDG 17 iaitu Pendidikan Berkualiti dan Kerjasama Demi Matlamat.
Penglibatan pensyarah dari Pusat Pembelajaran Bahasa, UTeM iaitu Profesor Madya Dr Muliati Sedek dan Teh Zanariah Mohd Raus turut memainkan peranan penting agar penyampaian modul seperti Words Formation Games, Train the Brain dan Pronounce It Perfectly sesuai dengan tahap intelektual murid-murid sekolah rendah.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Wahidah Abd Wahab berkata, pihak sekolah sangat berbesar hati dengan penglibatan para peserta UWINS 2024 dalam mengadakan program perkongsian ilmu dan khidmat masyarakat kepada murid-muridnya.
"Bagi sekolah yang dikategorikan sebagai SKM, peluang murid-murid untuk berinteraksi dengan mahasiswa dari luar negara dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris nanti," katanya.
Salah seorang peserta UWINS2024, Sandrina Bintang Natalia dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember mengakui tidak menyangka sambutan yang sangat menggalakkan terhadap program Hello Talk! itu.
"Saya sangat terharu dengan teruja apabila melihat semangat yang ditunjukkan oleh para peserta yang hadir untuk mengikuti program ini," katanya.