Pelbagai cabaran perlu dilalui seorang guru apabila mereka dipertanggungjawabkan mendidik murid autisme.
Biarpun nampak mudah pada awal pembelajaran, namun apabila murid autisme ini berhadapan masalah kelakuan, semuanya akan menjadi sukar!
Sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut 2 April setiap tahun, Sinar Bestari tertarik dengan catatan Cikgu Zahran yang mempunyai kenangan terindah dalam mendidik murid autisme.
Hantaran yang dipetik menerusi laman Facebook pada April 2022 itu, telah mendapat puluhan komen dan perkongsian daripada warga maya.
Masing-masing bercerita tentang anak autisme.
Foo Er: Betul apa yang cikgu kata. Kadang-kadang ibu bapa tidak dapat terima kenyataan. Hantar ke sekolah biasa hingga menjadi satu bebanan untuk mereka belajar, kesian!
Amir Lennon: Usah malu untuk letakkan anak di kelas PPKI, fikirkan masa depan anak.
Muslimah Siti: Anak autisme berada di kelas arus perdana bukan sebab ibu bapa yang bertegas. Tapi, doktor pakar yang tulis surat rekomen untuk sekolah bersama murid normal. Kami ibu bapa hanya nak yang terbaik untuk anak-anak.
Ini antara perkongsian netizen tentang autisme.
Apa pula cerita Cikgu Zahran?
Jom ikuti kisah menarik di bawah ini.
*****
Sejujurnya aku tidak memahami autisme. Sekadar mendapatkan maklumat melalui pembacaan dan bertanya rakan-rakan. Yang aku tahu cuma anak-anak autisme ini hidup dalam dunia mereka.
Murid ini aku tak pasti tahapnya. Kata guru kelasnya ‘mild autisme’. Tulisannya besar besar penumbuk. Dah puas aku tegur sebelum ini sebab aku pun tak tahu dia autisme.
Aku suruh dia tulis ABC balik ikut kotak. Tulis nombor 123 balik dalam kotak macam murid Darjah Satu. Aku ingat dia memang jenis macam tu. Mulanya ok, masuk minggu depan kembali kepada asal.
Murid ini dalam kelas normal. Pada pandangan aku, tidak sesuai kerana kami ada banyak kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan guru yang terlatih. Bukan tidak boleh tapi jika dia berada didalam kelas PPKI, lebih banyak perhatian dapat diberikan oleh guru dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM).
Bila berada bersama kelas normal, jelas sekali dia keseorangan, tertinggal makin jauh.
Sebelum aku tahu dia autisme, aku pernah tinggikan suara. Menggeletar seluruh tubuh dia bila aku marah. Aku jadi kaget sebentar. Maaf...aku tak tahu dia autisme. Dan aku tiada kepakaran mengurus anak autisme. Aku cuma cikgu biasa.
Perasaan sayu bila melihat dia keseorangan. Kanak kanak normal bukan tidak mahu berkawan. Tetapi mereka tak dapat memahami dia. Dia cuba bermain, malah dia mampu menghafal sifir seperti yang aku suruh...aku yakin dia ada kebolehan tersendiri.
Cuma aku berharap jika ibu bapa ditakdirkan mempunyai anak autisme, setelah disahkan pakar perubatan, usah malu untuk letakkan mereka di kelas PPKI. Disana mereka akan dilatih, dibantu dan diajar mengikut tahap kemahiran.
Jika ibu bapa bertegas mahu mereka bersama kanak kanak normal, mereka makin terpinggir. Malah banyak kelebihan untuk mereka berbanding murid normal.
Pernah kami berhadapan dengan ibu bapa yang tetap bertegas tidak mahu anaknya diletakkan dikelas PPKI.
Kita tidak punya kuasa jika ibu bapa berkeras. Padahal dari mata kasar kita sudah tahu. Anak tersebut tidak mampu berkomunikasi dengan normal malah mengikat tali kasut pun tidak mampu dan terketar ketar. Akhirnya kita turutkan sahaja kehendak ibu bapa itu walaupun satu kerugian besar buat dia.
Anak autisme ini bukan satu beban tetapi satu anugerah.
Maafkan aku kerna tidak mampu membantu.
INFO
Austisme ialah sejenis gangguan neurologi yang mengakibatkan beberapa masalah seperti
- Masalah komunikasi dan imaginasi kepada kanak-kanak
- Masalah kelakuan seperti sering mengamuk atau tantrum
- Berhadapan dengan masalah pembelajaran
- Agresif mungkin ke tahap mencederakan diri sendiri
- Kemungkinan untuk merasa sensitif terhadap lima deria iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa dan bau