Bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) bukan hanya membuka peluang pekerjaan, bahkan berperanan dalam membangunkan teknologi tinggi dalam negara.
Faktor itu, selain minatnya dalam bidang elektronik dan perubatan telah membawa Dr Norhasmira Mohammad, 34, tersenarai antara 600 saintis yang dijemput menghadiri persidangan bersama pemenang Hadiah Nobel Kesihatan di Jerman.
Menurut pakar teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) itu, usaha beliau berhasil apabila ditawarkan untuk menyertai projek penyelidikan oleh sebuah syarikat gergasi dengan bayaran lumayan lebih RM10,000 sebulan.
"Bidang kepakaran saya adalah AI dan ML, kedua-duanya saya aplikasikan dalam kajian kesihatan am, forensik dan juga pergigian menerusi algoritma yang saya cipta.
"Hasil usaha ini saya anggap berbaloi apabila terpilih antara 600 saintis muda untuk ke Jerman pada tahun lalu dan Malaysia menghantar lima wakil sahaja.
"Saya memang bekerja dalam bidang akademik tetapi saya juga ditawarkan pada awal tahun ini untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama sebuah syarikat teknologi dengan bayaran yang cukup tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, menurut Norhasmira, perjalanan yang dilalui bukan mudah, tetapi kerana minat mendalam dalam bidang sains dan teknologi menyebabkan beliau bertekad untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Tambahnya, kajian yang dijalankan beliau telah mendapat perhatian ahli akademik dari dalam dan luar negara.
Ujarnya, menerusi kemahiran yang dipelajarinya, beliau berjaya membuktikan bahawa graduan lulusan TVET juga mampu mencipta kejayaan di peringkat lebih tinggi.
"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya sambung Diploma Kejuruteraan Elektronik (Perubatan) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan selepas itu saya menyambung ijazah sarjana muda dalam bidang yang sama di Universiti Teknologi Malaysia.
"Sewaktu menjalankan kajian di peringkat PhD, saya mengaplikasikan teknologi AI dalam Sains Forensik iaitu mengenal pasti usia mayat menerusi keadaan giginya sahaja dan ramai yang berminat dengan kajian ini,” katanya.