Cakna media sosial: Anak-anak perlu pendedahan awal pendidikan digital

Iklan
Ibu bapa perlu berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak tentang penggunaan media sosial dan memastikan mereka memahami langkah-langkah keselamatan.

Kanak-anak perlu diberikan pendedahan awal kepada pendidikan digital bagi memastikan mereka cakna mengenai kebaikan dan keburukan serta kesan penggunaan siber termasuk media sosial, selain memahami etika penggunaan medium berkenaan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, langkah itu antara lain dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman kanak-kanak mengenai penggunaan teknologi siber, seterusnya menghindarkan golongan itu daripada terdedah kepada aktiviti jenayah dalam talian seperti penipuan.

Iklan
Iklan

"Yang paling utama adalah pendidikan, dengan pendidikan digital di sekolah, apa sahaja yang Kementerian Komunikasi cadangkan untuk kebaikan pengguna - ia lebih mudah dihadam, difahami dan diaplikasikan oleh masyarakat.

"Melalui pendidikan, anak-anak di sekolah diajar mengenai baik buruk tentang penggunaan digital ini dan mereka boleh menjadi perantara bagi menyampaikan maklumat yang dipelajari di sekolah kepada ibu bapa," katanya.

media 1

Iklan

Beliau berkata, pendidikan di sekolah dan pendidikan tidak formal di rumah mengenai penggunaan siber juga perlu selari memandangkan kanak-kanak lebih terdedah kepada penggunaan media sosial ketika berada di rumah justeru ibu bapa dan penjaga perlu mengawal pendedahan teknologi itu kepada anak-anak.

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dalam kenyataan turut menyarankan, ibu bapa dan penjaga supaya memastikan kanak-kanak hanya diberikan akses kepada peranti dan kandungan di Internet dengan pengawasan dan pemantauan sewajarnya.

Iklan

Sokong penuh

Menyokong penuh seruan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyampaikan amaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada ibu bapa bagi memastikan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial sendiri, CMCF menggalakkan ibu bapa menyedari risiko dan bahaya yang wujud di media sosial terutamanya terhadap kanak-kanak.

"Adalah penting untuk ibu bapa berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak tentang penggunaan media sosial dan memastikan mereka memahami langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil," katanya.

media 2

Menurut CMCF, langkah itu penting kerana kanak-kanak di bawah umur 13 tahun mungkin tidak memahami sepenuhnya risiko yang terlibat dalam menggunakan media sosial.

Katanya, tanpa pengawasan betul mereka boleh menjadi mangsa kepada aktiviti tidak selamat seperti penipuan, keganasan siber atau pergaulan memudaratkan.

"Media sosial mungkin memberi tekanan kepada anak-anak yang masih belum matang atau berupaya mengawal emosi mereka dengan baik. Pendedahan kepada kandungan tidak sesuai boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi dan psikologi mereka," katanya.

media 3

Menurut CMCF, kanak-kanak lebih cenderung berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di media sosial kerana mereka belum memahami bahaya dan risiko bakal timbul dan perkara itu boleh mengakibatkan pencerobohan privasi atau perkongsian maklumat kepada mereka yang berniat jahat.

Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata, MCMC mendapati bahawa kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial dan kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan tersebut memiliki akaun. – Bernama.