Susulan kontroversi membabitkan penceramah warga asing dari Amerika Syarikat, Universiti Malaya (UM) telah tampil membuat permohonan maaf melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis.
Kata UM, pihaknya memandang serius perkara itu dan segera mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan sebarang program dan aktiviti yang telah dijadualkan dihadiri ahli akademik tersebut.
"UM berasa kesal dengan kenyataan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial.
"Laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu ini.
"Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial,” katanya.
Sementara itu, pihak UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.
Ujar mereka (UM), ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.
"Pihak UM akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah,” jelas kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, Sinar Bestari melaporkan tentang arahan terkini Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mahu UM membatalkan segera sebarang program dan aktiviti melibatkan penceramah merangkap Profesor Sains Politik di Universiti Negeri Portland, Amerika Syarikat.
Menurut Zambry, setiap agensi dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) harus peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis dan program dianjurkan.