Subjek Perpaduan di sekolah pupuk nilai kebersamaan - Lam Thye

Iklan
Pihak sekolah juga dilihat berperanan penting dalam usaha mempromosikan nilai-nilai perpaduan dengan penganjuran aktiviti melibatkan pelbagai kaum antara sekolah. Gambar kecil: Lam Thye.

Kerajaan dicadang memperkenalkan sukatan mata pelajaran berteraskan perpaduan dalam usaha menyemai dan menyemarakkan lagi nilai-nilai kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Tan Sri Lee Lam Thye berpandangan usaha itu perlu bagi memastikan generasi muda negara ini didedahkan dengan nilai-nilai perpaduan seawal bangku sekolah.

Iklan
Iklan

"Jika perpaduan boleh dijadikan sebagai satu mata pelajaran di sekolah, maka saya fikir kita melakukan perkara yang betul untuk membantu memupuk perpaduan di negara ini. Saya berpendapat sejauh mana Malaysia akan berkembang dan maju semuanya bergantung kepada perpaduan rakyat.

"Sungguhpun kita bercakap soal ekonomi, digitalisasi, sains dan sebagainya, tetapi yang menentukan segala-galanya di negara kita yang berbilang bangsa, kaum dan agama ini ialah perpaduan," katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata, usaha memperkasakan nilai perpaduan dalam negara perlu diberi perhatian khusus dan pendekatan memperkenalkan mata pelajaran berteraskan perpaduan langkah tepat dalam merealisasikan matlamat itu.

"Bagi saya tidak ada tempat yang lebih baik (untuk laksana) daripada di sekolah untuk mendidik, menggalak dan membolehkan semua pelajar tidak mengira kaum menghargai antara satu sama lain serta mengamalkan nilai-nilai perpaduan. Semua ini harus bermula di sekolah," katanya.

Iklan

Pada Rabu lalu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy ketika menghadiri sambutan Hari Perpaduan di Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist berkata, penganjuran Hari Perpaduan di sekolah menjadi platform terbaik untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar sekolah.

Senada dengan itu, Lam Thye berkata, pihak sekolah juga dilihat berperanan penting dalam usaha mempromosikan nilai-nilai perpaduan dengan penganjuran aktiviti melibatkan pelbagai kaum antara sekolah.

"Sebagai contoh, sekolah kebangsaan (SK) boleh mengundang pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) untuk menyertai aktiviti sekolah. Begitu juga sekolah Cina menganjurkan sukan, mereka boleh mengundang pelajar dari sekolah kebangsaan atau Tamil untuk terlibat sama. Ini membolehkan mereka saling berinteraksi," katanya.

Bahkan, Lam Thye berpandangan bahawa isu membabitkan sekolah vernakular yang dimainkan oleh pihak tertentu dilihat tidak wajar untuk dibangkitkan kerana perkara itu telah termaktub dalam sistem pendidikan dan Perlembagaan Persekutuan.

"Perlembagaan memperuntukan bahawa negara ini, Malaysia, adalah unik kerana kita mempunyai SK, SJKC dan SJKT. Bagaimanapun, dengan memiliki sekolah yang berbeza bukan bermakna kita tidak boleh bersatu dan berinteraksi antara sekolah," katanya.