Peratusan aliran Sains rendah, impak kemasukan pelajar universiti bidang STEM

Iklan
KPT bertanggungjawab mengawal selia IPT untuk memastikan negara mampu melahirkan ramai bakat baharu dalam bidang STEM. (Gambar hiasan)

Sabah mencatatkan statistik terendah iaitu hanya sebanyak 12.35 peratus pelajar mengambil aliran Sains pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, statistik yang dicatatkan itu membabitkan pelajar Tingkatan Empat dilihat agak membimbangkan kerana ia bukan saja memberi kesan kepada pengurangan penuntut di universiti dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tetapi juga kepada industri di Sabah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertanggungjawab untuk mengawal selia institusi pendidikan tinggi (IPT) untuk memastikan negara mampu melahirkan ramai bakat baharu dalam bidang STEM.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku di Sabah, saya gusar dengan statistik peratus enrolmen murid Tingkatan Empat yang mengambil aliran Sains pada tahun 2023 di mana data menunjukkan Sabah mencatatkan peratusan terendah iaitu 12.35 peratus berbanding purata keseluruhan sebanyak 22.8 peratus.

Iklan

"Jadi saya minta supaya perkara ini dapat diteliti oleh kementerian berkaitan dan kita kena lakukan intervensi terutama di Sabah ini.

"Kita agak terkebawah dalam isu ini dan saya fikir ini akan menyebabkan prestasi negeri Sabah dalam pelbagai sudut nanti terutama yang melibatkan teknologi juga akan menurun," katanya kepada pemberita ketika majlis makan malam bersama dengan pengamal media Sabah di Restoran Tanjung Seafood Tanjung Aru pada malam Jumaat.

Iklan

Dedahnya lagi, data yang diperoleh menerusi permohonan pelajar ke universiti awam juga menunjukkan kadar persaingan ke program STEM atau sains adalah lebih rendah berbanding program bukan STEM.

"Mengikut statistik penawaran program STEM dan bukan STEM di universiti awam sehingga 31 Disember 2022, menunjukkan sebanyak 2,446 atau 55 peratus program yang ditawarkan adalah merupakan program STEM iaitu merangkumi semua peringkat pengajian.

"Namun, berdasarkan kepada statistik permohonan UPUOnline tahun 2023, daripada 237,805 pemohon yang layak diberi penempatan, seramai 89,625 orang atau 37.69 peratus merupakan permohonan ke program STEM/sains berbanding 148,180 atau 62.31 peratus bagi permohonan bukan STEM.

"Kadar kejayaan mendapat tawaran bagi program STEM/Sains adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 83.30 peratus berbanding

hanya 58.09 peratus pelajar bukan STEM yang mendapat tawaran," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menegaskan bahawa kerjasama daripada pelbagai pihak penting supaya bidang STEM tidak tertinggal di belakang terutama di Sabah.

"Ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pada masa sama juga kami di peringkat KPT akan menjadi penyedia untuk di universiti awam dan swasta.

"Jadi bila penurunan ini berlaku, maknanya semakin kurang pengambilan aliran sains dan teknologi di peringkat universiti dan seterusnya kita tidak dapat melahirkan bakat-bakat tempatan yang boleh kita sediakan kepada industri yang akan melabur ke negara kita.

"Sebab itu kita mahu semua pihak KPM, KPT, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Sumber Manusia yang saya fikir boleh kita bekerjasama erat dalam menanggani isu ini," katanya.