Menteri Pendidikan sebak kehilangan Pengetua STAR

Iklan
Fadhlina menziarahi keluarga Allahyarham di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor. Gambar kanan: Allahyarham Cikgu Azmi.

Pemergian Pengetua Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak, Allahyarham Cikgu Azmi Jimat, Jumaat lalu, turut mengundang kesedihan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika menerima berita kematian itu.

Memetik perkongsian di laman Facebook, Fadhlina memberitahu, Allahyarham (Cikgu Azmi) merupakan seorang pendidik dan pemimpin mithali yang bersifat kebapaan serta sangat mudah dirapati.

Iklan
Iklan

Di samping itu, beliau turut dikenali sebagai insan yang komited dalam tugasan dan telah berhasil menunjukkan peningkatan prestasi murid serta sekolah yang dipimpinnya.

Kongsi Fadhlina lagi, sisi pendidikan Allahyarham juga cukup hebat antaranya merupakan bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak angkatan C'91.

Iklan

"Beliau pernah berkhidmat di alma maternya (MCKK) sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI), Teluk Intan, Perak sebagai Pengetua.

"Kemudian, Allahyarham melanjutkan khidmat sebagai Pengetua STAR sehinggalah hujung nyawanya," tulis Fadhlina di Facebook rasminya.

Iklan

Mengakhiri coretan, Fadhlina merakamkan ucapan takziah kepada Ustazah Siti Marlina Abdul Wahab atas kehilangan suami tercinta.

"Semoga ALLAH SWT memberikan keampunan kepada Allahyarham, menerima segala amalan beliau dan mengangkat darjatnya di sisi Yang Maha Esa.

"Dan juga, semoga pemergian beliau menjadi kerehatan sebenar daripada urusan dunia serta roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan roh orang-orang yang soleh," ujarnya lagi.