Seorang remaja yang dijangka mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak lama lagi, putus kaki kirinya selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Budiman, Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda EX5 dengan sebuah kereta jenis Toyota Hilux berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek dekat sini.
"Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Adam Muqlis Abdul Aziz, 18, mengalami kecederaan parah dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.16 malam.
"Siasatan awal mendapati pemandu kereta Toyota Hilux dari bahu jalan sebelah kiri telah membuat pusingan U untuk menghala ke arah lampu isyarat Budiman.
"Ketika itu secara tiba-tiba mangsa (Muhammad Adam Muqlis) yang menunggang motosikal datang dari arah lampu isyarat Budiman telah berlanggar dengan kereta tersebut di bahagian sisi hadapan sebelah kanan.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah iaitu putus kaki sebelah kiri," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.
Mengulas lanjut, Azli berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan lanjut manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Beliau (pemandu kereta) telah hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 25 saat di aplikasi WhatsApp berkenaan mangsa yang terbaring sakit akibat kemalangan tersebut.
Kelihatan seorang wanita dipercayai ibu mangsa menjerit dan kemudiannya rebah akibat terkejut dengan kejadian itu.
"Kaki, kaki anak aku. Ya ALLAH. Anak aku, kesiannya anak aku sakit.
"Siapa langgar ini? Siapa langgar? Ya ALLAH, anak aku," ujarnya.
Difahamkan, Muhammad Adam Muqlis dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal selepas habis berniaga air kelapa di gerainya.