Tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 yang akan diumum 27 Mei nanti, mencetuskan polemik dalam kalangan guru, ibu bapa dan orang ramai apabila tarikh tersebut jatuh pada hari Isnin minggu pertama cuti persekolahan.
Mengikut Kalendar Akademik Sesi 2024/2025, Cuti Penggal 1 sekolah akan bermula 24 Mei hingga 2 Jun bagi Kumpulan A manakala 25 Mei hingga 2 Jun (Kumpulan B).
Difahamkan, tarikh 27 Mei 2024 itu kurang sesuai kerana ramai pelajar, guru dan ibu bapa sudah mempunyai agenda masing-masing antaranya sudah membeli tiket kapal terbang, bas atau kenderaan sewa lain untuk pulang ke kampung, mengikuti kem cuti sekolah, bercuti ke destinasi pilihan dan sebagainya.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sendiri di laman Facebook pada Khamis, merayu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengeluarkan keputusan SPM 2023 lebih awal iaitu 23 Mei 2024 (Khamis) sebelum cuti sekolah.
Malah, Kesatuan Guru Sarawak (STU) juga turut memohon KPM agar mempertimbangkan tarikh pengumuman SPM diawalkan atau dilanjutkan ke minggu persekolahan bulan Jun.
Menurut Presiden STU, Kullin Djayang, pengumuman pada 27 Mei kurang sesuai kerana tarikh tersebut jatuh Isnin minggu pertama cuti sekolah.
"Sebagai sebuah kesatuan guru dari Sarawak, kami ingin mengemukakan beberapa kekangan berhubung tarikh yang dipilih KPM untuk pengumuman peperiksaan tersebut.
"Antaranya, kebanyakan guru yang bertugas di sekolah (Sarawak) sudah memulakan perjalanan balik ke kampung masing masing mulai 24 dan 25 Mei 2024, malah mungkin ramai yang sudah membeli tiket untuk pulang ke kampung.
"Kita mohon maaf kepada KPM atas segala kesulitan ini kerana masa cuti semester 2024 amat singkat berbanding sebelumnya,” kata beliau.
Menjengah ke ruangan komen, Sinar Bestari mendapati keseluruhan netizen menyuarakan keluhan mereka tentang perkara berkenaan.
"Tak pernah-pernah keputusan SPM keluar masa cuti, kesian cikgu-cikgu yang dah plan bersama keluarga, moga ALLAH permudahkan.”
"Umum 23 Mei! Lebih baik untuk keluarkan sebelum cuti sekolah, sebab cikgu-cikgu dan ibu bapa pun ramai dah buat rancangan balik kampung atau bercuti bersama keluarga. Lagi pun lagi meriah buat masa hari bersekolah, bolehlah adik-adik raikan senior yang dapat keputusan bagus dan mereka pun akan dapat motivasi untuk belajar dengan lebih tekun dan turut berjaya juga suatu hari nanti.”
"Sokong, keputusan SPM 2023 pada 23hb Mei 2024 (Khamis).”
"Sebaiknya 23 Mei tu, mudahkan urusan semua pihak seperti sekolah dan ibu bapa.”
"Keluarkan 23 Mei, kesian cikgu nak balik kampung.”
"Ya, kesian dekat cikgu-cikgu dan parents. Ramai sudah tempah untuk percutian. Mohon KPM semak kembali dan ambik kira semua faktor.”
"Mohon KPM pertimbangkan luahan hati kami. Tolonglah!”