Bilik Snoezelen buat murid berkeperluan khas

Iklan
Fadhlina (kiri) bermesra dengan pelajar-pelajar khas di Bilik Multisensori Pendidikan Khas SK Seri Sentosa selepas majlis perasmian bilik berkenaan pada Jumaat.

Empat buah sekolah rendah termasuk tiga di Perak akan dilengkapi Bilik Multisensori Pendidikan Khas (bilik snoezelen) untuk digunakan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ruangan itu merupakan sebuah bilik terapi yang dicipta khusus untuk menenangkan, merehatkan dan merangsang minat kanak-kanak mahupun dewasa yang mempunyai masalah berkeperluan khas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Bilik Terapi Multisensori itu amat sesuai digunakan oleh murid yang mempunyai masalah pembelajaran seperti autisme, sindrom Down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) serta sebagainya.

Beliau berkata, terapi itu juga digunakan secara meluas dalam bidang pediatrik, materniti, psikiatri, strok dan kecederaan otak (Traumatic Brain Injury), penyakit kronik serta penjagaan dementia.

Iklan

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha memberikan peluang dan ruang kepada MBPK menikmati pembelajaran seperti murid-murid lain di aliran perdana dengan mengikuti pendidikan setara dan berkualiti.

"Ia termasuk memastikan golongan itu menikmati fasiliti pembelajaran yang terbaik selaras dengan konsep Pendidikan Manusiawi yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025)," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Multisensori Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Jumaat.

Selain SK Seri Sentosa, tiga buah sekolah lagi yang terpilih menerima bilik multisensori itu adalah SK Long Jaafar, SK Seri Setiawan dan SK Pendidikan Khas Ipoh, Perak.

Bilik terapi khas itu disumbangkan syarikat Able Perfect Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN).

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, seiring PPPM 2013-2025, beliau berharap agar kerjasama antara kumpulan sokongan profesional seperti ahli terapi dengan guru-guru dapat dirancakkan lagi supaya MBPK menerima manfaat perkhidmatan seterusnya berupaya melibatkan diri dalam aktiviti yang dirancang oleh KPM.

Tambahnya, dengan adanya bilik multisensori, ia dapat menyokong kefungsian dan kemenjadian MBPK dari peringkat pendidikan sekolah rendah sehingga ke peringkat menengah dan seterusnya bersedia ke arah kebolehpasaran mereka apabila tamat persekolahan nanti.