"Guru itu adalah ‘raja’ dalam sebuah negeri kecil. Kita tentukan semua peraturan dalam negeri kita. Jadilah raja dalam negeri kecil yang gembira.”
Demikian catatan hati yang ditulis bekas guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh dalam buku anekdot pertama tulisannya iaitu Cikgu Kelas Sebelah.
Mohd Fadli berkata, menjadi seorang pendidik cukup menyeronokkan dan menggembirakan dirinya.
"Bahagian paling best adalah saat melangkah masuk dalam kelas. Masa kita, waktu kita, kelas kita, negeri kecil yang kita adalah raja.
"Saat menatap mata murid-murid, semua bebanan dan tekanan hilang dibawa angin lalu. Saat itu, gurulah paling berkuasa. Suruh apa saja, murid taat belaka. Buat aktiviti apa, murid berlumba nak sertai.
"Guru lukis orang jadi macam cacing pun murid kata cantik. Guru menyanyi suara macam katak tercekik pun murid kata sedap dan merdu. Guru biasa-biasa pun murid kata paling cantik, paling hensem. Guru lalu depan kelas pakat teruja menjerit,"Cikgu, cikgu, cikguuuu”...kalah artis ternama,” kata beliau seperti dipetik di akaun Facebook pada Khamis sempena Hari Guru tahun 2024.
Ujar beliau, seorang guru sanggup melakukan apa sahaja perkara di luar bidang tugas mereka demi amanah yang digalas.
"Saat murid terluka, gurulah orang pertama yang akan mengelap air mata dan memeluk pujuk sambil membalut luka. Malah, saat murid kelaparan tiada duit belanja untuk makan sebab sudah membeli pelbagai barangan di koperasi sekolah, guru juga dahulukan duit mereka.
"Saat murid mengadu kawan mengejek, guru juga menjadi hero dan saat murid hilang segala alat tulis, guru jugalah yang akan mengantinya.
"Ada lagi, ketika murid seronok bermain baling kasut hingga tersangkut atas bumbung sekolah, guru juga yang panjat dan ambilkan kerana tidak sampai hati melihat mereka dalam esakan takut dimarah ibu.
"Selain itu, sewaktu pakaian murid compang camping, guru belikan baru sebagai ganti. Murid menangis kerana kawan enggan bersahabat, gurulah jadi pendamainya dan ketika murid miskin kesedihan tiada rezeki mengikuti lawatan sambil belajar kerana tidak mampu membayar, gurulah juga penghapus duka membayar bagi pihaknya," catat Mohd Fadli yang juga seorang aktivis dan pempengaruh media sosial.
Sungguh besar jasa dan pengorbanan yang dicurahkan para guru kepada murid-murid.
Kami di Sinar Bestari begitu kagum dan sebak dengan apa yang dilakukan oleh guru-guru di Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohd Fadli berkata, sukar untuk mengukur nilai pengorbanan dan jasa seorang guru.
"1,001 jasa guru yang tak terungkap. Yang tak pernah habis untuk ditulis.
"Sebahagian besar hanya rahsia antara guru dan murid, tanpa pernah ibu bapa tahu pun kisah itu.
"Sebab itu jika pernah ada guru terlebih hukum anak kita, tersalah lempang dan sebagainya, jangan terburu-buru buat laporan dan kenakan cikgu tersebut seumur usia perkhidmatannya kerana mungkin guru yang sama tersilap langkah, adalah guru yang sama mendukung anak kita masa dia pengsan di padang. Mungkin guru yang tersalah hukum itu adalah guru sama yang memeluk anak kita, memujuk duka dan membalut luka," tuturnya lagi.
Sementara itu, kata beliau lagi, guru tidak maksum dan sepanjang perkhidmatan, pastinya ada silap dan khilaf yang dilakukan.
"Jika pernah ada, selesaikan baik-baik, kerana dimata semua guru, murid-murid adalah anak mereka.
"Sebesar mana ibu bapa nak lihat anak kalian berjaya, sebesar itu jugalah harapan seorang guru.
"Sesungguhnya memanusiakan manusia itu tidak mudah. Ia perlukan kerjasama erat antara ibubapa dan guru. Begitulah," tulisnya lagi.
Akhir sekali, Mohd Fadli memberitahu 16 Mei adalah tarikh keramat buat semua guru-guru di Malaysia.
"18 tahun aku sambut tanpa gagal, menyanyi lagu Kami Guru Malaysia bersama rakan. Diiringi gemuruhnya sorakan dan tepukan murid.
"Tahun ini buat kali pertama aku memandang sambutan hari keramat ini dari kejauhan.
"Selamat Hari Guru buat semua kawan-kawan warga pendidik. Ingatlah, guru itu adalah raja dalam sebuah negeri kecil. Penuhkanlah rasa kasih sayang dan kegembiraan dalam negeri kecil kita. Salam rindu dari kejauhan," ujarnya.