'Terima Kasih Cikgu'.
Walau ia satu ungkapan ringkas namun besar ertinya bagi insan bergelar guru dan pendidik yang telah banyak berjasa dalam mendidik dan membentuk anak bangsa.
Tanggal 16 Mei setiap tahun, bukan sahaja hari yang ditunggu-tunggu oleh warga pendidik malah semua lapisan masyarakat secara umumnya tidak melepaskan peluang meraikan hari istimewa itu dengan menitipkan doa dan ucapan Selamat Hari Guru.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sambutan Hari Guru amat bermakna dan amat wajar diraikan untuk menghargai didikan dan bimbingan guru menjadikan sebuah masyarakat yang hebat.
Menerusi ucapan Hari Guru di akaun Facebooknya hari ini, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pendidik di Malaysia atas sumbangan mereka terhadap pembangunan sistem pendidikan negara.
"Sempena Hari Guru pada hari ini, saya ingin menzahirkan penghargaan saya buat guru-guru di Malaysia atas sumbangan, dedikasi dan keikhlasan dalam membangun anak bangsa.
"Tema Hari Guru pada tahun ini ialah 'Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara MADANI' dan ketika ini, kita sedang menyaksikan perubahan pantas didasari kepesatan pembangunan dan kecanggihan teknologi. Justeru kita harus lekas beradaptasi dengan norma baharu ini dengan menyikapi literasi terhadap media dan digitalisasi," katanya di Facebook.
Di Malaysia, Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun dan sambutan bagi peringkat kebangsaan pada tahun ini diadakan di Kuantan, Pahang yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sambutan Hari Guru bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada semua pendidik malah sebagai dorongan kepada mereka untuk terus memperjuangkan dan meningkatkan kualiti dalam mendidik pelajar.
Beliau berkata, pengiktirafan dan penghormatan kepada guru amat layak diberikan atas kegigihan dan kesabaran mereka mencurahkan segala ilmu, tunjuk ajar serta khidmat bakti demi mendidik anak bangsa menjadi insan cemerlang, berpengetahuan dan berakhlak mulia.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pada zaman peralihan digital, guru bertindak sebagai jauhari mengasah permata negara dan setiap ilmu disampaikan memantapkan generasi akan datang dalam membina Malaysia MADANI yang cerdas dan beretika.
"Hari ini, kita raikan bukan hanya kebijaksanaan seorang guru atau pendidik, tetapi kegigihan mereka dalam merentasi era digital yang penuh dengan cabaran.
"Buat semua guru di Malaysia, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru dan semoga semua guru dikurniakan kesihatan berpanjangan, sentiasa dilimpahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan," katanya.
Orang ramai juga turut meraikan golongan guru dengan menitipkan ucapan dan doa selain berkongsikan kenangan manis mereka bersama guru masing-masing di pelbagai plaform sosial media, antaranya di aplikasi X (dahulunya Twitter) dengan menggunakan tanda pagar (hashtag) #HariGuru2024.
Pengguna X, @sallehabdulsal1 dalam ciapannya:"Selamat Hari Guru 2024 kepada semua pendidik yang berdedikasi, terima kasih tidak terhingga atas segala usaha dan pengorbanan guru dalam membentuk pemikiran dan masa depan anak bangsa."
Ciapan pengguna X, @4zimz:"Selamat Hari Guru kepada semua tenaga pengajar. Terima kasih atas khidmat yang diberikan selama ini."
Di Facebook pula, pengguna juga memuat naik ucapan Selamat Hari Guru dan gambar kenangan bersama guru, malah ada antara mereka turut berkongsi gelagat anak-anak membuat persiapan menyediakan hadiah untuk guru-guru sempena majlis sambutan di sekolah masing-masing. - Bernama